ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Kerajaan Negeri Johor dalam proses mewartakan lebih 500 petak letak kereta baharu di beberapa kawasan strategik sekitar sini, Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kulai bagi menangani isu parkir jangka panjang, khususnya melibatkan individu yang bekerja di Singapura.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata langkah itu diambil susulan terdapat pengguna yang meletakkan kenderaan dalam tempoh panjang termasuk di kawasan awam berhampiran hospital serta lokasi tumpuan.
Beliau berkata proses pewartaan kawasan parkir baharu itu dijangka selesai menjelang suku ketiga tahun ini, dengan tempoh pelaksanaan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan kerana melibatkan kelulusan serta prosedur rasmi kerajaan negeri.
“Langkah ini bertujuan memastikan sistem parkir lebih teratur dan adil, selain mengelakkan situasi kenderaan diletakkan selama 14 hingga 16 jam tanpa sebarang bayaran,” katanya kepada pemberita selepas sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri turut meneliti beberapa pendekatan baharu termasuk kemungkinan memperkenalkan had masa parkir serta kadar bayaran tertentu bagi penggunaan melebihi tempoh ditetapkan.
Terdahulu dalam sesi penggulungan, Mohd Jafni berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) tidak akan mengenakan sebarang caj parkir kenderaan kepada pengguna jalan raya di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sepanjang bulan ini.
Beliau berkata parkir percuma itu dilaksanakan bagi memberi ruang kepada orang ramai memuat turun aplikasi sistem parkir baharu, iaitu Parkmax@JOHOR yang akan menggantikan sistem MBJBSpot bermula 1 Jun ini.
“Pengguna MBJBSpot yang masih mempunyai baki kredit boleh membuat tuntutan atau pengemaskinian kredit melalui borang dalam talian atau hadir ke kaunter MBJB hingga 31 Mei ini,” katanya.
Katanya MBJB memberi jaminan baki kredit sedia ada tidak akan terjejas serta proses migrasi akan diselesaikan secara berfasa.
Beliau berkata pengenalan sistem baharu ini sebahagian daripada usaha menyeragamkan sistem parkir digital di seluruh negeri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial