WILAYAH - UTARA > BERITA

SAKURA: UDA Sumbang Wakalah Zakat RM240,000, Manfaat 1,200 Pelajar

19/05/2026 12:44 PM

GEORGE TOWN, 19 Mei (Bernama) -- UDA Holdings Berhad menyalurkan sumbangan wakalah zakat berjumlah RM240,000 bagi memanfaatkan 1,200 pelajar asnaf menerusi Program Sinar Kasih UDA Cares-Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) (SAKURA).

Dalam kenyataan bersama PTPTN dan UDA Holdings Berhad hari ini memaklumkan sumbangan tersebut, disalurkan terus ke dalam akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime pelajar universiti awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan setiap seorang menerima RM200.

“Program ini merupakan kesinambungan kepada kolaborasi strategik yang dimeterai antara kedua-dua organisasi sejak 2024, selaras dengan aspirasi bersama dalam memperkasakan agenda pendidikan tinggi negara di samping membudayakan amalan menabung serta perancangan kewangan pendidikan dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Majlis penyerahan sumbangan itu berlangsung di Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin Universiti Sains Malaysia (USM) semalam, disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.

Norliza berkata program itu diharap dapat meringankan beban pelajar dan meningkatkan motivasi mereka untuk terus memberi tumpuan kepada pembelajaran.

“Sekalung penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada UDA Holdings Berhad atas sumbangan dan keprihatinan yang diberikan dan saya menyeru sokongan serta kerjasama semua agensi kerajaan dan swasta, untuk bersama-sama membudayakan amalan menabung di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif UDA Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata program SAKURA diharap dapat menyokong pembangunan insan lebih seimbang dan melahirkan generasi masa depan yang berdaya saing serta berdaya tahan.

Simpan SSPN menyediakan pelbagai keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma ke atas pendeposit, geran sepadan percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan telah bersetuju kriteria pemberian Geran Sepadan ke atas simpanan dalam akaun Simpan SSPN Prime bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) diperluas kepada keluarga berpendapatan melebihi RM4,000 sehingga RM6,000 bagi tempoh dua tahun di bawah Inisiatif Geran Padanan Ihsan (GAPAI), dengan nilai geran sehingga RM5,000 bagi satu keluarga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan