WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Sukan Asia 2026 Antara Fokus Utama Aaron-Wooi Yik

20/05/2026 11:25 AM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun merupakan antara fokus utama beregu lelaki nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tahun ini.

Aaron berkata selain temasya empat tahun sekali itu, mereka juga akan memberikan sepenuh tumpuan bagi menghadapi dua lagi kejohanan besar tahun ini, iaitu Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi serta Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2026 di Hangzhou, China.

“Sekarang sudah hampir bulan Jun, tahun hadapan pula sudah mula kelayakan Sukan Olimpik, apa yang penting dengan umur kami ketika ini, memang lebih banyak fokus kejohanan utama.

“Gelaran kami tak banyak tapi ada juga, namun fokus kami ketika ini pada kejohanan utama sahaja. Walau apa pun, tentunya kami akan lakukan yang terbaik, bukan main-main,” katanya ketika ditemui pada Malaysia Masters 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, di sini.

Aaron-Wooi Yik sebelum ini melakar sejarah muncul wakil badminton pertama negara memenangi Kejohanan Dunia bagi edisi 2022 di Tokyo, selain merangkul dua pingat gangsa Sukan Olimpik, juara Kejohanan Badminton Asia 2025 dan empat gelaran Jelajah Dunia.

Semalam, beregu nombor dua dunia itu, mara ke pusingan kedua Malaysia Masters 2026 dengan menyingkirkan pasangan Singapura Wesley Koh-Kubo Junsuke 19-21, 21-10, 21-12, dalam tempoh 45 minit pada pusingan pertama.

Kejohanan Super 500 yang bermula semalam dan berlangsung hingga 24 Mei itu, menawarkan hadiah keseluruhan USD500,000 (RM1.98 juta).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan