WILAYAH - SELATAN > BERITA

UTHM Dinobat Institusi Terbaik Keusahawanan AKKPT 2025

19/05/2026 03:55 PM

BATU PAHAT, 19 Mei (Bernama) -- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dinobatkan sebagai sebuah Institusi Terbaik Keusahawanan, sempena Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi (AKKPT) 2025, yang berlangsung di Hilton Hotel, Kuala Lumpur, pada Jumaat (15 Mei).

Majlis penyampaian anugerah berkenaan yang disempurnakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, membuktikan komitmen berterusan UTHM dalam memperkasakan agenda keusahawanan pendidikan tinggi negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan ekosistem keusahawanan universiti.

Naib Canselor UTHM Prof Dr Mas Fawzi Mohd Ali berkata kejayaan tersebut, selari dengan usaha universiti berkenaan dalam membudayakan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa dan staf melalui pelaksanaan program latihan, pertandingan inovasi, pembangunan perniagaan serta sokongan berterusan kepada startup mahasiswa dan staf yang berpotensi tinggi.

Beliau berkata di sebalik pencapaian berkenaan, Pusat Teknousahawan Universiti (PTU) memainkan peranan penting sebagai peneraju utama agenda keusahawanan universiti.

“PTU bertanggungjawab merancang strategi, menyelaras dan melaksanakan pelbagai inisiatif berkaitan pembangunan keusahawanan termasuk pengurusan data, pelaporan, latihan, pertandingan, pemantauan startup serta pembangunan ekosistem keusahawanan universiti secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mas Fawzi turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga universiti atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan agenda keusahawanan universiti, khususnya kepada warga PTU yang menjadi tulang belakang dan perancang strategi utama.

Beliau berkata segala pengorbanan masa, tenaga dan idea yang dicurahkan oleh seluruh pasukan akhirnya membuahkan hasil yang amat membanggakan buat universiti, serta menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh budaya keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

“Kejayaan ini turut menjadi bukti bahawa budaya kerja berpasukan, kesungguhan dan komitmen seluruh warga universiti, mampu menghasilkan pencapaian yang memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan tinggi dan keusahawanan negara.

“UTHM juga berharap pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh agenda keusahawanan universiti dalam melahirkan lebih ramai graduan usahawan yang kompetitif, inovatif dan berdaya tahan pada masa hadapan,” katanya.

Dengan kejayaan tersebut UTHM membawa pulang hadiah kemenangan sebanyak RM250,000 beserta ganjaran tambahan berjumlah RM30,000 sebagai finalis, dengan keseluruhan dana pembagunan keusahawanan RM280,000.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan