WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kerajaan Komited Pastikan Inisiatif Digital Negara Beri Faedah Nyata Kepada Rakyat - Wilson

19/05/2026 03:54 PM

CYBERJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Kerajaan terus komited memastikan inisiatif digital Malaysia  memberi manfaat nyata kepada rakyat dan rantau ini, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata pengukuhan kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan serantau adalah kunci untuk mempercepat inovasi sambil memastikan kepercayaan, keterangkuman dan daya tahan terus dipelihara.

“Kita sedang menyaksikan perubahan ketara ke arah sistem lebih pintar, selamat dan berteraskan manusia yang dibina berasaskan kepercayaan, kerjasama dan inovasi beretika.

“Ketika Malaysia memperkasa inisiatif digital, tumpuan kita kekal untuk memastikan pembangunan ini memberi manfaat nyata kepada rakyat dan rantau ini,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan persidangan sehari NextBigTech Asia di sini hari ini.

Dianjurkan Knowledge Group of Companies, persidangan yang memasuki edisi kesembilan itu diadakan bertemakan Negara Pintar, Masa Depan Lebih Sejahtera: Menerajui AI Berteraskan Kepercayaan bagi Tadbir Urus dan Kesejahteraan Insan.

Sementara itu, Wilson berkata kecerdasan buatan (AI) kini berkembang pesat dalam mengubah cara kerajaan merancang, penyampaian dan menambah baik perkhidmatan awam, termasuk di Malaysia yang terus mencatat kemajuan dalam membina asas kukuh ke arah masa depan berteraskan data dan AI.

Beliau berkata pihak berkuasa tempatan kini menggunakan AI dan data bagi pengurusan trafik manakala angkatan tentera turut mengintegrasikan AI dan sistem siber-fizikal dalam operasi ketenteraan.

“Kami juga memperkasa rakyat dengan pengetahuan AI melalui platform pendidikan percuma seperti AI Untuk Rakyat. Selain itu, kami menyaksikan minat berterusan pelabur asing untuk menubuhkan atau mengembangkan perniagaan mereka di sini,” katanya.

Beliau berkata perkembangan itu dapat dilihat menerusi pertumbuhan pesat syarikat pemula niaga dan pusat data di Malaysia.

Bagi membantu syarikat tempatan dan asing berkembang dalam ekosistem digital negara, Kementerian Digital melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) turut menubuhkan pejabat ekonomi digital serantau di negara ini.

Wilson berkata bulan lepas, Pejabat Digital Serantau Selatan dilancarkan di Johor memandangkan negeri itu muncul sebagai pemacu utama ekonomi digital Malaysia.

“Johor sahaja menyumbang RM44.4 bilion atau 51 peratus daripada keseluruhan pelaburan digital Malaysia berjumlah RM86.7 bilion bagi tempoh Januari hingga pertengahan April 2026.

“Inisiatif ini sebahagian daripada perjalanan kita untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030. Sepanjang 2026, Kementerian Digital memberi tumpuan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, tetapi juga pengeluar teknologi AI dan digital yang berdaya saing di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata melalui inisiatif “Buatan Malaysia”, kerajaan memberi keutamaan kepada pembangunan infrastruktur AI berdaulat dan keupayaan pengkomputeran berprestasi tinggi bagi menyokong masa depan digital yang selamat, dipercayai dan berdaya tahan.

“Paling penting, kami berhasrat untuk melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia berkemahiran tinggi yang bakal mempelopori pembangunan penyelesaian dan teknologi baharu bertaraf dunia,” katanya.

Persidangan hari ini menghimpunkan menteri, penggubal dasar, ketua pegawai maklumat (CIO), pemimpin keselamatan siber, profesional kesihatan, ahli strategi digital dan inovator teknologi bagi membincangkan pelaksanaan praktikal AI, infrastruktur awam digital, tadbir urus beretika dan rangka kerja keselamatan siber selaras dengan agenda MyDIGITAL serta aspirasi AI negara.

Persidangan itu turut menampilkan sesi ucaptama strategik, dialog eksekutif dan perspektif antarabangsa yang memfokuskan antaranya, Pelaksanaan Pelan Hala Tuju AI Nasional Malaysia, Pemerkasaan Negara AI 2030 menerusi Infrastruktur Digital Generasi Baharu, Keselamatan Siber dalam Tadbir Urus Pintar, Pengawalseliaan Teknologi Baharu dan Digital Malaysia 2030 serta Perkhidmatan Awam Masa Hadapan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan