WILAYAH - TIMUR > BERITA

SATU Rugi RM200 Juta Setahun Akibat Kehilangan NRW

19/05/2026 09:04 PM

KEMAMAN, 19 Mei (Bernama) -- Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat kehilangan air tidak berhasil (NRW) di seluruh negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU Abdul Karim Endut berkata antara faktor utama menyumbang kepada peningkatan kadar NRW di negeri berkenaan ialah masalah kebocoran paip lama dan usang, kerosakan meter air serta kegiatan kecurian air

“Kadar kehilangan air tidak berhasil di Terengganu menunjukkan sedikit peningkatan dari 40 peratus sebelum ini kepada 42.84 peratus pada tahun ini. Daripada jumlah itu, kira-kira 70 peratus kehilangan air berpunca daripada kebocoran paip manakala baki 30 peratus disebabkan sambungan tidak sah dan kegiatan kecurian air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Air Sedunia peringkat Terengganu 2026 di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Sah, di sini hari ini, yang dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat.

 Abdul Karim berkata SATU telah mengambil pelbagai langkah proaktif bagi mengurangkan kerugian itu termasuk menukar paip lama dan usang secara berperingkat serta melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip dengan segera selepas menerima laporan kebocoran.

"Pihak SATU terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agak besar setiap tahun bagi melakukan penyelenggaraan dan penggantian paip-paip lama berkenaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata rekod penggunaan bekalan air terawat dalam kalangan pengguna domestik di Terengganu ialah 288.26 juta liter sehari atau 61.95 peratus manakala pengguna komersial dan industri pula mencatatkan 177.06 juta liter sehari atau 38.05 peratus setakat April tahun ini. 

"Di seluruh Terengganu, SATU menguruskan 15 LRA dan secara purata setiap hari loji-loji berkenaan mampu merawat dan membekalkan 1,031 juta liter sehari. Daripada jumlah yang besar ini, kita masih mempunyai lebihan simpanan kecemasan bekalan air pada paras yang stabil iaitu 22.5 peratus," katanya.

Mengulas mengenai masalah bekalan air payau yang diterima pengguna di daerah Dungun dan Kuala Terengganu, beliau berkata kejadian itu berlaku selepas berlaku penerobosan air laut yang memasuki Sungai Terengganu.

Beliau berkata senario itu di­sebabkan fenomena air pasang besar sehingga memberi kesan terhadap proses rawatan air di muka sauk LRA Pulau Musang yang terletak di muara Sungai Terengganu dan Dungun.

“SATU telah ambil langkah meningkatkan kuantiti air Su­ngai Terengganu bagi mencairkan kemasinan menerusi pelepasan air dari Empangan Kenyir, Hulu Terengganu dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Sementara di Dungun pula, SATU membeli air yang telah dirawat di LRA swasta dan dihantar ke LRA Bukit Bauk bagi menampung keperluan harian dan membantu mengurangkan tahap kemasinan air bersih yang dibekalkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan