WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HDC Lantik Mohd Afandi Salleh Sebagai Pengerusi, Berkuat Kuasa Serta-merta

22/05/2026 11:30 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Halal Development Corporation Bhd (HDC), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), melantik Prof Dr Mohd Afandi Salleh sebagai Pengerusi berkuat kuasa serta-merta.

HDC berkata, sebagai Pengerusi, Mohd Afandi akan memainkan peranan penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju ekonomi global halal, dengan penekanan terhadap pengukuhan kerjasama antarabangsa, kepimpinan dasar dan kepimpinan pemikiran dalam ekosistem halal global.

“Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam hubungan antarabangsa, tadbir urus dan akademik dengan lebih dua dekad perkhidmatan dalam bidang pendidikan tinggi serta penglibatan dasar global,” kata HDC dalam satu kenyataan.

Mohd Afandi merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Hubungan Antarabangsa dari Durham University, United Kingdom; Sarjana Undang-Undang dalam Undang-Undang Antarabangsa dari Lancaster University, United Kingdom; serta Ijazah Sarjana Muda Sains Kemanusiaan dalam Sains Politik dengan minor dalam Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dari Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia.

HDC berkata beliau juga pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan penting termasuk sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), dan kini merupakan pensyarah dalam  Hubungan Antarabangsa di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Mohd Afandi turut menyumbang kepada platform antarabangsa termasuk proses United Nations Universal Periodic Review, selain terlibat dalam pelbagai penglibatan global bersama institusi seperti Geneva International Centre for Justice, ASEAN University Network dan Norwegian Centre for Human Rights.

“HDC yakin dengan kepimpinan Mohd Afandi, perspektif global serta kepakaran multidisiplin beliau akan terus mempercepat pembangunan industri halal Malaysia dan memperkukuh reputasi negara sebagai hab utama perdagangan, pelaburan, inovasi serta pusat kecemerlangan halal,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan