WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bakar Suar, Ganggu Tempat Awam: Tujuh Lelaki Didenda Antara RM50 Hingga RM4,500

22/05/2026 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Tujuh lelaki didenda antara RM50 hingga RM4,500 oleh tiga Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah membakar suar, melakukan kekacauan di tempat awam dan memberhentikan kenderaan dengan membahayakan pengguna jalan raya.

Majistret Tg Syazwany Yasmyn Tuan Roslan menjatuhkan hukuman denda RM4,500 atau penjara enam bulan terhadap Mohamad Azhar Mohamed Idris, 31, kerana memberhentikan kenderaan dengan membahayakan pengguna jalan raya.

Majistret Aina Azahra Arifin pula menjatuhkan hukuman denda RM400 atau penjara sebulan masing-masing terhadap Amir Adzim Shahrul Nizam, 25, Khairul Hamizan Zainudin, 28, Muhammad Izz Mifzal Mirza Mohd Noordzalie, 22, Muhammad Ariff Aiman Mohamed Nasir, 23, dan Muhammad Ikhwan Daniel Azman, 25, kerana melakukan kekacauan di tempat awam.

Sementara itu, Muhammad Haziq Akmal Mohd Yazid, 24, yang membakar suar didenda maksimum RM50 atau penjara lima hari oleh Majistret Farah Nabihah Muhammad Dan.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Azhar memandu kenderaan pacuan empat roda telah berhenti dengan sengaja di tengah lampu isyarat yang mungkin membahayakan pengguna jalan raya di lampu isyarat persimpangan Jalan Sultan Ismail dan Jalan Bukit Bintang pada 2.07 pagi 18 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 48(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Muhammad Haziq Akmal pula didakwa membakar suar di persimpangan Jalan Bukit Bintang pada masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50. 

Lima lagi didakwa bersama-sama melakukan mudarat awam dengan melakukan gangguan dan kekacauan di tempat awam pada lokasi, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hench Go, Iman Nurhidayah Ezam dan Nurbatrisyia Mohd Razib manakala peguam Khairul Muktar serta Simret Singh mewakili kesemua tertuduh.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan