PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) Bilangan 5 Tahun 2026 hari ini memberi penekanan kepada tindakan segera dan penyelesaian berimpak tinggi dalam menangani isu rakyat serta memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.
Mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar itu turut memberi tumpuan kepada langkah lebih bersepadu bagi menangani cabaran kos sara hidup dan pekerjaan melalui pendekatan lebih bersasar dan berkesan.
STAR dalam kenyataan memaklumkan fokus utama adalah memastikan pelaksanaan inisiatif kerajaan dapat membantu mengurangkan tekanan kos kehidupan rakyat, memperluas peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan isi rumah.
Mesyuarat itu juga meneliti pelaksanaan Projek Kecil CAKNA MADANI yang memberi fokus kepada penyelesaian segera terhadap keperluan asas komuniti setempat.
“Pendekatan ini membolehkan projek berskala kecil dilaksanakan secara lebih cepat dan memberi impak langsung kepada rakyat di kawasan yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.
Dalam usaha memperkukuh kefahaman rakyat terhadap aspirasi Malaysia MADANI, pelaksanaan Pelan Penghayatan Malaysia MADANI turut diberi perhatian melalui pendekatan komunikasi yang lebih jelas, tersusun dan dekat dengan rakyat.
Selain itu, mesyuarat turut dimaklumkan mengenai langkah memperkukuh penglibatan badan pemikir dan pakar tempatan dalam menyokong penggubalan dasar negara yang lebih berasaskan bukti, praktikal dan berorientasikan keberhasilan.
Pendekatan berkenaan dijangka dapat meningkatkan keberkesanan pelaksanaan dasar serta memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan pihak berkepentingan.
Sementara itu, bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, mesyuarat turut memberi perhatian kepada pelaksanaan inisiatif Kerajaan Tanpa Kertas (paperless government) yang dijangka mempercepat urusan pentadbiran, mengurangkan penggunaan dokumen fizikal serta meningkatkan kecekapan proses kerja kerajaan secara lebih mampan dan responsif.
Mesyuarat itu juga dimaklumkan mengenai status pelaksanaan tindakan strategik kerajaan dalam memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dapat diterjemahkan kepada peningkatan produktiviti dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam secara menyeluruh.
Menurut kenyataan itu lagi, pendekatan seluruh kerajaan atau whole-of-government yang dilaksanakan memberi tumpuan kepada penyelarasan usaha merentas agensi bagi mempercepat manfaat penggunaan AI kepada rakyat, perniagaan dan negara.
“Secara keseluruhan, Mesyuarat STAR Bilangan 5 Tahun 2026 menegaskan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berfokus kepada keperluan rakyat melalui pelaksanaan tindakan yang pantas, terselaras dan berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.
Pasukan STAR diterajui Pejabat Ketua Setiausaha Negara bersama Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Unit Pantau MADANI dan Perbadanan Produktiviti Malaysia sebagai platform strategik kerajaan dalam mempercepatkan penyelesaian isu merentas agensi serta memperkukuh keberkesanan pelaksanaan agenda reformasi perkhidmatan awam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial