WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Kejohanan Polo Meriahkan Sambutan 100 Tahun Kelab Polo Diraja Pahang

12/06/2026 09:32 PM

KUANTAN, 12 Jun (Bernama) -- Dua kejohanan utama iaitu Royal Pahang Classic Centenary Cup dan Tengku Ampuan Patrons Cup bakal menjadi acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-100 penubuhan Kelab Polo Diraja Pahang (RPPC).

Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah berkata kejohanan berkenaan turut akan dimeriahkan dengan kehadiran pemain pasukan polo dari luar negara. 

“Insya-Allah, kita akan ada lapan pasukan bagi Centenary Cup manakala lapan atau 10 pasukan untuk Tengku Ampuan Cup,” kata Tengku Amir Nasser kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran sambutan ulang tahun ke-100 RPPC di East Coast Mall (ECM) di sini hari ini. 

Turut hadir Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Al-Sultan Abdullah.

Perlawanan peringkat awal akan bermula pada 7 Sept di RPPC Pekan sebelum kejohanan utama bakal berlangsung pada 25 dan 26 Sept. 

Sementara itu, Tengku Amir Nasser menzahirkan harapan agar legasi sukan berkenaan diteruskan oleh generasi seterusnya. 

“Saya dan adinda-adinda sudah generasi keempat, jadi harap anakanda saya atau adinda menyambung legasi permainan polo ini dan memperkembang sukan ini bukan sahaja di Pekan tetapi juga di Pahang dan Malaysia,” katanya.  

 Sempena sambutan ke-100, RPPC membuka sejarah dan warisan kelab kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi pameran interaktif yang menampilkan koleksi fotografi arkib dan artifak bersejarah yang menceritakan evolusi sukan polo di Pahang sepanjang satu abad.

Selepas di ECM, program akan diteruskan di Pesta Kuantan 188 dari 31 Julai hingga 2 Ogos, diikuti Pameran Centenary di Museum of Contemporary Art (MOCA) sepanjang bulan Ogos.

Menurut kenyataan diedarkan, penubuhan kelab itu bermula daripada hadiah persahabatan diraja apabila Sultan Iskandar Perak menghadiahkan beberapa ekor kuda polo kepada Sultan Abu Bakar Pahang sempena perkahwinan dengan puteri Sultan Iskandar.

Hadiah tersebut menyemarakkan minat terhadap sukan polo dan akhirnya mencetus kepada penubuhan kelab itu oleh Sultan Abu Bakar pada 1926.

RPPC merupakan satu daripada hanya empat kelab polo di Malaysia yang mencapai usia seabad dan antara kelab polo tertua di dunia yang masih beroperasi secara berterusan sejak era 1920-an.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan