BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

India Hapus Sekatan Harga Minimum Eksport Beras Basmati, Bawang

Daripada Shakir Husain

NEW DELHI, 14 Sept (Bernama) -- India menghapuskan sekatan harga minimum untuk eksport beras basmati dan bawang, keputusan yang disifatkan oleh kerajaan sebagai memberi manfaat kepada golongan petani di negara itu.

Kementerian Perdagangan India pada Jumaat berkata harga eksport minimum (MEP) US$950 (US$1 = RM4.30) setiap tan bagi beras basmati telah dihapuskan. 

Selain itu, kerajaan juga telah menarik balik syarat-syarat MEP bagi eksport bawang dan mengurangkan duti eksport daripada 40 peratus kepada 20 peratus. 

Eksport sektor pertanian dan pendapatan petani akan mendapat rangsangan daripada keputusan ini, kata Menteri Perdagangan Piyush Goyal di platform media sosial X beliau.

India telah cuba menstabilkan bekalan dan harga bawang domestik sejak beberapa bulan lepas.  

Kerajaan mengenakan larangan eksport bawang pada Disember tahun lalu dan kemudian melanjutkannya sehingga Mac lepas.

Larangan itu ditarik balik pada Mei tetapi kerajaan menetapkan MEP pada US$550 setiap tan dan mengenakan duti eksport sebanyak 40 peratus.

Kawalan harga makanan merupakan isu sensitif di negara yang memiliki penduduk paling ramai di dunia itu.  

Kerajaan melarang eksport beras putih bukan basmati pada Julai 2023 untuk memastikan bekalan tempatan yang mencukupi. 

Eksport beras India pada tahun kewangan 2022-23 (April-March) berjumlah 22.3 juta tan dengan eksport beras bukan basmati bernilai US$6.3 bilion dan jualan beras basmati mencecah US$4.7 bilion.

Lima pembeli utama dari Timur Tengah, Aarab Saudi, Iran, Iraq, Emiriah Arab Bersatu dan Yaman menyumbang 63 peratus daripada 4.55 juta tan eksport beras basmati India semasa tempoh 12 bulan. 

-- BERNAMA