BERITA TERKINI   Kesan pelaksanaan penyasaran subsidi elektrik dan diesel membolehkan kerajaan mempunyai ruang fiskal lebih luas biayai program kebajikan rakyat - Amir Hamzah | Kerajaan dalam fasa akhir memperhalusi kriteria kelayakan dan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dengan semua pihak berkepentingan - Amir Hamzah | Sultan Brunei berangkat tiba di Subang untuk Lawatan Negara empat hari ke Malaysia | Polis rampas dadah bernilai RM2.6 juta di Johor, sindiket pengedaran tumpas - KP Johor | Keuntungan bersih suku kedua 2025 Petronas Gas Bhd susut kepada RM450.19 juta berikutan hasil rendah sebanyak RM1.59 bilion berbanding RM1.65 bilion tahun lalu | 

MRC Unjur Eksport Getah Dan Produk Berkaitan Melangkaui RM30 Bilion

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Majlis Getah Malaysia (MRC) mengunjurkan eksport getah dan produk getah Malaysia akan melangkaui RM30 bilion menjelang akhir tahun, dirangsang oleh prestasi kukuh pada separuh pertama 2024.

Eksport getah serta produk berkaitan meningkat ketara pada separuh pertama 2024 untuk mencecah RM15.5 bilion, menokok 16.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

MRC melalui satu kenyataan hari ini berkata produk getah menyumbang 70.5 peratus daripada jumlah keseluruhan atau RM10.9 bilion, manakala eksport getah menyampaikan RM4.6 bilion, mencerminkan pertumbuhan dari tahun ke tahun sebanyak 29.4 peratus. 

Majlis itu menjelaskan sarung tangan getah kekal sebagai penyumbang terbesar apabila merangkumi 62.5 peratus daripada jumlah produk getah yang dieksport, mencecah RM6.8 bilion pada separuh pertama 2024 berbanding RM5.8 bilion yang disaksikan semasa separuh pertama 2023, pertumbuhan 16.7 peratus yang agak mantap.

Sarung tangan perubatan menyumbang sejumlah RM5.0 bilion, menunjukkan pertumbuhan 15.7 peratus selepas didorong oleh permintaan global yang berterusan untuk sarung tangan Malaysia berkualiti tinggi, terutamanya daripada sektor penjagaan kesihatan. 

“Sebagai produk getah kedua paling banyak dieksport, tayar, kebanyakannya tayar pneumatik baharu, menyaksikan prestasi bercampur-campur merentas pasaran pada separuh pertama 2024. Eksport ke Brazil menunjukkan kenaikan kukuh 22.5 peratus tetapi secara keseluruhan, eksport tayar jatuh sedikit 1.7 peratus , kepada RM962.8 juta,” tambahnya. 

Selain sarung tangan, produk lateks seperti kateter getah dan benang lateks juga berprestasi baik. Eksport kateter naik 15.8 peratus kepada RM298.1 juta manakala benang lateks melonjak 15.5 peratus kepada RM282.5 juta menjelang separuh pertama 2024.

“Eksport barangan getah perindustrian serta am Malaysia juga menunjukkan pertumbuhan positif pada separuh pertama 2024, masing-masing naik 6.7 peratus kepada RM933.9 juta, dan 5.1 peratus kepada RM854.2 juta.

“Eksport kasut juga mencatatkan kenaikan 5.6 peratus, menyumbang RM364.9 juta kepada jumlah nilai eksport,” katanya.

Menurut BSMM, Amerika Syarikat terus menjadi pasaran terbesar bagi produk getah Malaysia, menyumbang 31.4 peratus daripada jumlah eksport produk getah bernilai RM3.43 bilion, peningkatan ketara sebanyak 23.1 peratus daripada tempoh yang sama pada 2023. 

Destinasi eksport utama lain pada separuh pertama 2024 termasuk China, dengan eksport bernilai RM593.1 juta, Jepun (RM586.4 juta), Jerman (RM581.0 juta) dan Singapura (RM470.1 juta).

-- BERNAMA