Simposium PIDM Tingkat Kesediaan Krisis Dalam Kalangan Institusi Kewangan
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) sekali lagi menganjurkan Simposium Resolusi Kebangsaan (NRS) untuk meneruskan perbincangan mengenai kaedah menangani atau menyelesaikan kegagalan institusi kewangan di tengah-tengah ketidaktentuan yang semakin meningkat.
Bertemakan "Membangunkan Kebolehselesaian Secara Kolaboratif: Menerapkan Dasar Kepada Amalan", NRS pada tahun ini menumpukan perbincangan kepada pelaksanaan praktikal persediaan krisis.
Ketua Pegawai Eksekutif PIDM, Rafiz Azuan Abdullah berkata persediaan krisis perlu dilihat sebagai operasi berterusan dan bukan sekadar tindak balas apabila berlakunya kecemasan.
"Perancangan resolusi yang dilaksanakan lebih awal dapat membangunkan keupayaan sewaktu institusi ahli masih beroperasi seperti biasa untuk menyokong resolusi yang efektif dan merupakan pendekatan yang mampu mempertingkatkan daya tahan mereka.
“NRS mengukuhkan komitmen kami bagi memastikan institusi ahli PIDM sentiasa bersedia dan boleh diselesaikan untuk menghadapi cabaran semasa dan mendatang. Kami berhasrat untuk memupuk kerjasama dan menyediakan platform bagi pertukaran pandangan untuk menyokong resolusi yang efektif demi mengekalkan kestabilan sistem kewangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Simposium tersebut dihadiri hampir 450 peserta termasuk pemimpin pengurusan kanan dari institusi-institusi kewangan Malaysia.
PIDM berkata, NRS pada tahun ini menumpukan perbincangan kepada pelaksanaan praktikal persediaan krisis dan bagaimana pihak berkepentingan seperti peserta jaringan keselamatan kewangan, institusi kewangan, pengamal syariah, firma profesional serta pihak media boleh bekerjasama untuk memastikan pelaksanaan resolusi secara teratur ketika berlaku kegagalan institusi ahli.
Katanya, pihaknya telah menerbitkan keperluan perancangan resolusi kepada bank-bank ahlinya.
"Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa mengikut urutan pelaksanaan perancangan pemulihan Bank Negara Malaysia (BNM), berpandukan prinsip perkadaran, bergantung pada saiz dan kerumitan bank," kata PIDM.
PIDM sebagai pihak berkuasa resolusi institusi ahlinya telah membangunkan rangka kerja polisi bagi Perancangan Pemulihan dan Resolusi (RRP) bersama BNM untuk mengukuhkan persediaan krisis dan daya tahan institusi kewangan di Malaysia.
Menurut PIDM, perancangan pemulihan yang diterajui oleh BNM bagi memastikan bahawa bank dapat bertindak balas dengan efektif terhadap masalah kewangan dan mampu memulihkan daya maju semasa berdepan tekanan yang teruk.
”Perancangan resolusi yang diterajui PIDM pula memastikan bank dapat diselesaikan dengan segera dan teratur tanpa menggugat sistem kewangan,” katanya.
PIDM juga telah menerbitkan 25 kajian kes yang berlaku di peringkat global berkaitan resolusi bank dan syarikat insurans sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk menggalakkan perbincangan berkaitan perancangan resolusi.
Orang awam boleh memuat turun terbitan tersebut melalui laman sesawang PIDM.
-- BERNAMA