BERITA TERKINI   KDN akan jadi pemudah cara Perhimpunan Antirasuah yang berlangsung esok di Kuala Lumpur - Saifuddin Nasution  | Aplikasi MyBorderPass raih lebih 150,000 pengguna dalam tempoh 21 hari - Saifuddin Nasution | Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan diperkukuh, tiada kompromi - Saifuddin Nasution | Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | 

Ringgit Terus Kukuh Dipacu Pertumbuhan Ekonomi - Amir Hamzah

SEPANG, 27 Sept (Bernama) -- Ringgit diunjurkan terus mengukuh, disokong usaha berterusan kerajaan untuk merancakkan ekonomi sekali gus merangsang lebih banyak pelaburan masuk ke negara ini.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata permintaan ringgit yang tinggi akan membantu mengukuhkan mata wang tempatan itu dengan lebih baik.

"Apa yang kita pelajari kali ini, sekiranya ada usaha sama antara kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan dan Bank Negara Malaysia, kita boleh menstabilkan ringgit dalam apa-apa keadaan.

"Selagi Malaysia lebih kuat dari segi ekonomi, ringgit akan lebih mengukuh," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian 40 unit mesin pengimbas bagasi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata prestasi ringgit terus mengukuh sejak kebelakangan ini berikutan perkembangan baik ekonomi negara, peningkatan pelaburan masuk ke negara ini dan pergerakan kadar faedah Amerika Syarikat.

"Ringgit masih mengukuh dan sedang mencari nilai imbang yang sepatutnya," katanya sambil memaklumkan  mata wang itu turut mengukuh berbanding mata wang utama lain di rantau ini.

Ringgit hari ini ditutup kepada 4.12 berbanding dolar AS sekali gus muncul antara mata wang berprestasi terbaik di peringkat dunia.

-- BERNAMA