Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Seiring Prestasi Serantau

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi Khamis dengan lebih rendah, seiring prestasi sebahagian besar pasaran serantau ketika sentimen terus ketara susulan ketegangan di Timur Tengah yang meruncing, kata penganalisis.

Setakat 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun sebanyak 3.70 mata atau 0.23 peratus kepada 1,635.61 daripada paras 1,639.31, semalam.

Indeks penanda aras itu yang dibuka menokok 1.39 mata kepada 1,640.70, juga susut dalam 20 minit pertama dagangan pagi ini.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 498 berbanding 358 dengan 464 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,092 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.84 bilion unit bernilai RM1.12 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen amat berhati-hati terus menyelubungi peringkat serantau, terutamanya susulan ketegangan di Timur Tengah.

"Berdasarkan tindakan melepaskan aset berisiko baru-baru ini, kami percaya pelabur telah beralih kepada pendirian yang lebih mengutamakan tunai pada masa ini.

“Bagaimanapun, kami menjangkakan beberapa aktiviti mendapatkan saham berharga rendah akan muncul dan indeks bergerak dalam julat 1,635-1,645 hari ini," katanya kepada Bernama.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan IHH Healthcare kekal pada RM10.46 dan RM7.24, Public Bank naik 2.0 sen kepada RM4.55, CIMB Group turun 2.0 sen kepada RM7.96 manakala Tenaga Nasional berkurangan 20 sen kepada RM14.10.

Bagi saham aktif, OCR Group dan Parkson Holdings masing-masing susut 1.0 sen kepada 4.5 sen dan 19 sen, Lay Hong turun setengah sen kepada 39.5 sen namun Classita Holdings tidak berubah pada 4.0 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas susut 30.93 mata kepada 12,235.22, Indeks FBMT 100 berkurangan 31.48 mata kepada 11,929.54 manakala Indeks FBM 70 merosot 62.29 mata kepada 17,283.04.  

Indeks FBM ACE pula menguncup 10.40 mata kepada 5,115.42 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 51.98 mata kepada 12,152.15.  

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perladangan naik 14.07 mata kepada 7,186.12, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 36.97 mata kepada 19,201.81 manakala Indeks Tenaga naik 9.24 mata kepada 860.34.

Bagaimanapun, Indeks Produk dan Perkhidmatan Pengguna susut 0.03 mata kepada 176.51.

-- BERNAMA