BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Asas Ekonomi Kukuh Antara Faktor Sokong Pertumbuhan Ringgit - Gabenor

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Asas ekonomi Malaysia yang kukuh antara faktor yang menyokong pertumbuhan ringgit pada masa ini, termasuk ketika mata wang negara lemah, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata prospek pertumbuhan ekonomi negara antara empat dan lima peratus pada tahun ini juga merupakan faktor positif yang akan menyumbang kepada pengukuhan ringgit pada masa akan datang.

“Dari segi pertumbuhan ekonomi, sektor kewangan dan sebagainya memang kukuh. Pada masa ini, asas itu masih kukuh dan (akan) bertambah kukuh lagi.

“Prospek ekonomi adalah baik. Dua perkara ini mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit,” katanya pada program Niaga Awani bertajuk ‘Strategi Fiskal dan Monetari: Kunci Pengukuhan Ekonomi Malaysia’ yang disiarkan di Astro Awani hari ini.

Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan. 

Menurut Abdul Rasheed, selain faktor makroekonomi, pelaksanaan perubahan struktur oleh Kerajaan MADANI turut memainkan peranan penting dalam mendokong pengukuhan nilai ringgit.

“Saya perlu mengucapkan tahniah kepada kerajaan kerana melaksanakan pembaharuan dasar yang penting untuk negara kerana ia akan mengukuhkan kita pada masa depan.

“Pelabur melihat komitmen kita kepada perubahan struktur ini dan ia telah mendorong kepada pengukuhan nilai ringgit. Ia akan terus memacu sokongan untuk ringgit pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rasheed menegaskan dasar monetari negara terutamanya dalam menentukan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada masa ini bergantung kepada faktor domestik - inflasi dan prospek pertumbuhan negara.

“Dasar monetari kita perlu sesuai dengan dasar dan keadaan domestik dan bukan apa yang berlaku di luar negara -- walaupun Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan atau menurunkan kadar faedah, ia tidak memberikan sebarang petunjuk kepada cara untuk kita menguruskan dasar monetari di Malaysia.

“Cuma apa yang kita lihat ialah impak daripada perubahan di AS atau mana-mana negara ke atas prospek inflasi dan pertumbuhan ekonomi kita. Pada masa ini, ia (OPR) pada 3.0 peratus menyokong pertumbuhan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA