Bursa Malaysia Ditutup Kebanyakannya Tinggi, Dipacu Saham Teknologi, Hartanah & Pembinaan
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup kebanyakannya lebih tinggi hari ini, dengan momentum belian tertumpu terutamanya pada saham teknologi, hartanah dan pembinaan.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 5.07 mata atau 0.30 peratus kepada 1,691.31 daripada paras 1,686.24 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks penanda aras itu yang dibuka 5.23 mata lebih tinggi pada 1,691.47, bergerak antara 1,685.66 dan 1,692.97 sepanjang dagangan.
Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 663 berbanding 400, manakala 562 kaunter tidak berubah, 1,083 tidak diniagakan dan 13 digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 2.89 bilion unit bernilai RM2.60 bilion daripada 3.05 bilion unit bernilai RM2.83 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks utama serantau turut ditutup kebanyakannya tinggi, mengambil petunjuk daripada Wall Street dan disokong optimisme berhati-hati menjelang rundingan gencatan senjata antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) hujung minggu ini.
Beliau berkata Israel memberi isyarat mungkin akan merundingkan gencatan senjata dengan Lubnan, manakala Iran menegaskan Lubnan perlu turut dilibatkan dalam sebarang perjanjian dengan AS dan Israel.
“Bagi pasaran tempatan, kami kekal berhati-hati susulan ketidaktentuan geopolitik yang berterusan, memandangkan perkembangan di Asia Barat masih berubah-ubah dan terdedah kepada perubahan mendadak,” katanya kepada Bernama.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura meningkat 0.14 peratus kepada 4,984.10, Nikkei 225 Jepun melonjak 1.84 peratus kepada 56,924.11, manakala Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.55 peratus kepada 25,893.54.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank meningkat lima sen kepada RM4.65, Press Metal naik empat sen kepada RM7.90, Maybank dan Petronas Chemicals tidak berubah masing-masing pada RM11.16 dan RM5.82, manakala TNB susut empat sen kepada RM14.08.
Bagi saham paling aktif, Top Glove turun 1.5 sen kepada 80.5 sen, Zetrix AI naik setengah sen kepada 75.5 sen, Borneo Oil tidak berubah pada setengah sen, manakala Sunway Healthcare susut dua sen kepada RM1.90.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Fraser & Neave meningkat 72 sen kepada RM29.80, Malaysian Pacific Industries naik 46 sen kepada RM29.80, Sunway Construction melonjak 32 sen kepada RM6.85 dan UWC bertambah 24 sen kepada RM4.38.
Bagi kaunter rugi utama, Nestle susut RM1.10 kepada RM99, Petronas Dagangan turun 60 sen kepada RM20.80, Kuala Lumpur Kepong merosot 26 sen kepada RM21.94 dan QL Resources berkurangan 12 sen kepada RM3.86.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 menokok 49.10 mata kepada 12,259.66, Indeks FBM Emas meningkat 53.78 mata kepada 12,412.66, Indeks FBM Emas Syariah naik 31.19 mata kepada 12,289.33, Indeks FBM ACE menambah 55.14 mata kepada 4,429.98, manakala Indeks FBM Mid 70 melonjak 122.62 mata kepada 17,320.97.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 107.39 mata kepada 19,784.66, Indeks Perladangan susut 22.85 mata kepada 8,967.25, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.43 mata kepada 185.91, manakala Indeks Tenaga berkurangan 0.49 mata kepada 813.25.
Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.74 bilion unit bernilai RM2.36 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM2.63 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran mengecil kepada 847.80 juta unit bernilai RM126.93 juta berbanding 951.29 juta unit bernilai RM110.58 juta semalam.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 298.38 juta unit bernilai RM110.80 juta berbanding 272.38 juta unit bernilai RM93.33 juta pada Khamis.
Saham produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 132.57 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (580.53 juta), pembinaan (140.39 juta), teknologi (184.59 juta), perkhidmatan kewangan (70.76 juta), hartanah (153.02 juta), perladangan (34.51 juta), amanah pelaburan hartanah (12.58 juta), dana tertutup (40,500), tenaga (142.28 juta), penjagaan kesihatan (203.14 juta), telekomunikasi dan media (23.13 juta), pengangkutan dan logistik (47.75 juta), utiliti (47.75 juta) serta amanah perniagaan (82,600).
-- BERNAMA