BERITA TERKINI   Istiadat Pembukaan Parlimen: Titah Agong sarat dengan pesanan, perlu dihayati Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang - Fahmi | Tindakan tegas melalui saluran diplomatik, undang-undang dan pertahanan perlu diambil pastikan hak kedaulatan, kepentingan negara kekal terpelihara - Agong | Agong titah rakyat berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dan kecurian identiti | Peperangan di Gaza perlu segera ditamatkan, keadilan undang-undang hendaklah dilaksanakan - Agong | Malaysia akan terus kukuh atas semangat kerjasama erat kerajaan Persekutuan dan negeri - Agong | 

Bursa Malaysia Tinggi Pada Tengah Hari

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi dagangan pagi ini, didorong oleh sentimen positif berikutan berakhirnya mogok pekerja dok di Amerika Syarikat (AS) dan data pekerjaan bulanan AS yang lebih baik daripada jangkaan, kata penganalisis.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 4.25 mata atau 0.26 peratus kepada 1,634.22 daripada 1,629.97 pada Jumaat lepas.

Indeks petunjuk pasaran, yang dibuka tinggi 3.61 mata kepada 1,633.58, bergerak antara 1,628.12 dan 1,637.29 sepanjang sesi.

Bagaimanapun, dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 468 berbanding 443, dengan 492 kaunter tidak berubah, 1,015 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung. 

Jumlah dagangan sebanyak 1.62 bilion unit bernilai RM1.27 bilion.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng memberitahu Bernama bahawa FBM KLCI dijangka bergerak dalam julat 1,630 hingga 1,640 hari ini.

Pada masa yang sama, katanya Dow Jones Industrial Average (DJIA) AS melonjak 314 mata dan Nasdaq menambah 219 mata berikutan hasil 10 tahun Perbendaharaan AS naik kepada 3.96 peratus. 

Sementara itu, katanya harga minyak sawit mentah kekal pada aliran meningkat apabila berada melebihi RM4,200 satu tan, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi berikutan ketegangan di Timur Tengah dan ringgit yang rendah.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank kekal tidak berubah pada RM10.50, Public Bank menambah enam sen kepada RM4.59, CIMB meningkat tiga sen kepada RM7.95, IHH Healthcare naik dua sen kepada RM7.24 manakala Tenaga Nasional merosot 20 sen kepada RM14.08. 

Daripada kaunter aktif, OCR Group dan Euro Holdings, masing-masing berkurangan setengah sen kepada tiga sen dan lima sen manakala Sanichi tidak berubah pada 1.5 sen. Dagang Nexchange dan Bumi Armada, masing-masing menambah setengah sen kepada 38 sen dan 50.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 31.38 mata kepada 12,240.87, Indeks FBMT 100 meningkat 34.79 mata kepada 11,935.36 dan Indeks FBM 70 menambah 64.52 mata kepada 17,350.92.  

Indeks FBM ACE naik 9.96 mata kepada 5,119.48 manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 30.61 mata kepada 12,144.82.  

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 21.32 mata kepada 7,207.10, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 29.20 mata kepada 19,219.88 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 0.34 mata kepada 176.44 manakala Indeks Tenaga merosot 0.68 mata kepada 892.00.

-- BERNAMA