BERITA TERKINI   PM Anwar ucap tahniah kepada Pusat Jantung Hospital Serdang atas pencapaian membanggakan dalam beri rawatan berkualiti tinggi kepada rakyat | Tumpuan pembangunan negara tidak hanya kepada digital, teknologi malah berpaksi nilai berteraskan agama - PM Anwar | Kerajaan terus beri sokongan jayakan sambutan Hari Wesak bagi hormati masyarakat Buddha di negara ini - PM Anwar | PM Anwar seru majoriti yang cintakan Malaysia tidak biarkan negara ditawan naratif kebencian | PM Anwar mahu agensi berkaitan turun padang bantu PKS, perjelas pembiayaan disediakan kerajaan | 

Sidec Raih Anugerah Peluang/keterangkuman Digital WITSA Global 2024

SHAH ALAM, 8 Okt (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) memenangi Anugerah Kecemerlangan Perikatan Perkhidmatan Inovasi dan Teknologi Global (WITSA) 2024 bagi Peluang/Keterangkuman Digital (Sektor Awam).

Majlis penyampaian itu berlangsung di Yerevan, Armenia, pada 6 Oktober lepas.

Ketua Pegawai Operasi Sidec Loo Chuan Boon berkata anugerah berprestij itu mengiktiraf usaha agensi berkenaan dalam menggalakkan keterangkuman digital menerusi inisiatif Selangor 1000 Digital 2024 dan Anugerah Usahawan E-Dagang Terbaik Malaysia. 

Pencapaian cemerlang itu juga, katanya, hanya mengukuhkan lagi pengaruh Malaysia yang terus ketara dalam landskap inovasi dan teknologi global. 

“Kami amat berbangga di atas pengiktirafan oleh WITSA terhadap usaha memacu peluang dan keterangkuman digital. Anugerah ini tidak hanya memaparkan pencapaian Sidec, tetapi juga aspek daya tahan dan kebolehsesuaian perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menerima khidmat kami.

“Selangor 1000 Digital 2024 dan Anugerah Usahawan E-Dagang Terbaik menjadi usaha kami bagi memperkasa kemajuan perniagaan dalam ekonomi digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Loo turut menzahirkan penghargaan terhadap pihak berkepentingan utama yang telah memberi sokongan serta menyumbang di atas kejayaan kedua-dua inisiatif berkenaan.

“Penghargaan istimewa untuk pejabat Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor; Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor; Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan); AFFIN; Lazada; Shopline; FIUU; Pos Malaysia serta rakan lain di atas komitmen dalam menjayakan inisiatif ini.

“Kerjasama ini penting dalam memacu transformasi digital selain memperkasa komuniti PKS di Malaysia," katanya.

Inisiatif Selangor 1000 Digital 2024 telah memperkasa lebih 1,000 usahawan di Selangor menerusi penyediaan akses kepada mekanisme penyelesaian digital yang komprehensif.

Anugerah Usahawan E-Dagang Terbaik 2024 pula mengiktiraf usaha cemerlang bidang itu di serata negara dengan lebih 500 pedagang telah disenarai pendek pada tahun ini.

Selain Sidec, Telekom Research & Development Sdn Bhd menerusi Sistem Diagnostik Rangkaian Mudah Alih Pintar (Minds) turut mendapat pengiktirafan bagi Anugerah Transformasi Digital Terbaik (Sektor Swasta/Badan Bukan Kerajaan).

-- BERNAMA