Penambahbaikan Matriks Kos Dibenarkan Hrd Corp Pacu Daya Saing, Produktiviti - FMM

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Langkah Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) mengumumkan penambahbaikan Matriks Kos Dibenarkan (ACM) baru-baru ini, dapat memacu daya saing dan produktiviti industri Malaysia, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Pengerusi FMM Tan Sri Soh Thian Lai berkata tindakan memudahcara akses bagi program-program pembangunan kemahiran secara berterusan akan turut membantu syarikat-syarikat pengeluaran memastikan tenaga kerja mereka kekal tangkas dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan berkaitan.

“Ini akan mendorong manfaat seperti peningkatan kecekapan, kualiti produk yang lebih baik serta peningkatan daya saing di peringkat global,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong baru-baru ini mengumumkan di bawah ACM, syarikat kini boleh menuntut yuran kursus latihan atau kursus berdasarkan kadar bagi setiap jam berbanding sebelum ini yang melibatkan struktur setengah hari atau sehari penuh, sekali gus membolehkan majikan mendapat manfaat daripada program lebih singkat.

HRD Corp juga menaikkan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari berbanding had sebelum ini pada RM6,000 sehari.

“Kesemua perubahan ini membolehkan majikan memanfaatkan program latihan lebih singkat, khusus dan lebih mahal bagi meningkatkan kemahiran pekerja seiring dengan perubahan keperluan pembangunan kemahiran dan transformasi digital secara berterusan," kata Soh.

-- BERNAMA