BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Kerjasama Ekonomi Malaysia-Kanada Semakin Kukuh, Perdagangan Meningkat 41 Peratus

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

VIENTIANE, 11 Okt (Bernama) -- Kerjasama ekonomi Malaysia-Kanada semakin kukuh dengan perdagangan dua hala mencecah RM8.05 bilion setakat Ogos lepas, meningkat sebanyak 41 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Perdagangan dua hala melonjak sebanyak 25 peratus selepas Kanada menyertai Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), katanya dalam kenyataan kepada Bernama pada Khamis.

Menurut MITI, CPTPP turut membuka akses bebas duti bagi perdagangan barangan antara kedua-dua negara, sekali gus menghapuskan tarif untuk eksport utama Kanada. 

“Peningkatan ini dipacu oleh kenaikan eksport Malaysia ke Kanada sebanyak 68.1 peratus dan import dari Kanada sebanyak 16.8 peratus dengan sektor utama seperti teknologi bersih, pertanian dan aeroangkasa terus menjadi penyumbang utama kepada hubungan perdagangan yang lebih erat,” katanya. 

Sementara itu, MITI berkata industri halal turut membuka peluang kerjasama baharu antara Malaysia dan Kanada.

Katanya pasaran halal Kanada yang bernilai 1 bilion dolar Kanada (C$1=RM3.12) menawarkan potensi besar kepada pengeluar Malaysia terutamanya dalam produk makanan dan minuman. 

“Dengan lebih 1.15 juta penduduk Muslim di Kanada, permintaan terhadap produk halal semakin meningkat. 

“Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam memenuhi keperluan pasaran ini melalui kerjasama strategik dan peningkatan pelaburan dalam industri halal, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam industri global ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan beliau dari Kanada, Justin Trudeau di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di sini semalam. 

Sidang kemuncak itu berlangsung secara rasmi pada Rabu hingga hari ini.

Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan pengerusi itu kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2025. Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan itu pada 1 Jan 2025.

-- BERNAMA