BERITA TERKINI   MPRC wajar bertindak sebagai agensi peneraju sektor OGSE - Akmal Nasrullah | Harga arang batu meningkat 8.2 peratus kepada US$142.62 satu tan bagi tempoh 1 hingga 3 Jun - Akmal Nasrullah | Malaysia dan Turkmenistan dijangka menandatangani kerjasama hidrokarbon jangka panjang pada 19 Jun bagi memperkukuh rantaian bekalan tenaga - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Kerajaan perkukuh stok penimbal, percepat akses ubat-ubatan kritikal jika diperlukan - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global: Tenaga buruh meningkat kepada 17.33 juta orang, kadar penyertaan kekal kukuh pada 70.9 peratus pada April - Akmal Nasrullah | 

Pasaran Getah Tempatan Ditutup Bercampur-campur Susulan Sentimen Serantau Lebih Lemah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Jumaat susulan nasihat yang lebih lemah daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan penurunan penanda aras harga minyak mentah apabila ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran juga terjejas susulan kebimbangan mengenai peningkatan konflik di Timur Tengah.

"Namun, penurunan selanjutnya terhad kerana sentimen disokong oleh keyakinan terhadap rangsangan selanjutnya dari China dan data ekonomi global yang semakin baik," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga minyak merosot pada Jumaat selepas kenaikan pada hari sebelumnya, tetapi harga tetap berada pada landasan untuk kenaikan mingguan kedua berturut-turut kerana pelabur mempertimbangkan kesan kerosakan akibat taufan terhadap permintaan AS berbanding sebarang gangguan bekalan secara meluas jika Israel menyerang tapak minyak Iran.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM 20) susut sebanyak 13 sen kepada 851 sen sekilogram manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 748.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, GMM 20 berada pada 853.5 sen sekilogram manakala lateks pukal berada pada  749 sen sekilogram.

-- BERNAMA