BERITA TERKINI   KDN akan jadi pemudah cara Perhimpunan Antirasuah yang berlangsung esok di Kuala Lumpur - Saifuddin Nasution  | Aplikasi MyBorderPass raih lebih 150,000 pengguna dalam tempoh 21 hari - Saifuddin Nasution | Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan diperkukuh, tiada kompromi - Saifuddin Nasution | Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | 

MITI Mulakan Siasatan Duti Antilambakan Rod Dawai Keluli Dari China, Indonesia, Vietnam

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memulakan penyiasatan duti antilambakan ke atas rod dawai keluli yang berasal dari atau dieksport oleh China, Indonesia dan Vietnam.

Dalam satu kenyataan hari ini, MITI berkata siasatan itu dibuat berikutan petisyen yang difailkan oleh Southern Steel Bhd, pengeluar domestik yang mendakwa import dari negara-negara itu dijual pada harga yang lebih rendah daripada produk-produk domestik.

Southern Steel juga mendakwa import yang dilambakkan telah meningkat dengan ketara menyebabkan kemudaratan material kepada industri domestik, kata kementerian itu.

Siasatan akan dimulakan di bawah Seksyen 20 Akta Duti Balas dan Anti-Lambakan 1993 (Akta) dan peraturan 7 Peraturan-peraturan Duti Balas dan Anti-Lambakan 1994 (Peraturan).

“Penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari dari tarikh permulaan siasatan. Sekiranya penentuan awal adalah afirmatif, kerajaan akan mengenakan duti antilambakan sementara pada kadar yang diperlukan untuk mengelakkan kemudaratan kepada industri domestik daripada berlanjutan,” katanya.

MITI akan mengedarkan set soal selidik dan dokumen berkaitan kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeksport atau pengeluar dari negara yang didakwa, kerajaan negara berkenaan dan persatuan perniagaan yang berkaitan.

Pihak berkepentingan lain yang berminat untuk mengambil bahagian dalam penyiasatan duti antilambakan ini boleh memohon untuk mendapatkan soal selidik secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada 25 Oktober, 2024 dan menyerahkan pandangan, jawapan soal selidik dan bukti sokongan tambahan mereka selewat-lewatnya pada 9 Nov, 2024.

-- BERNAMA