BERITA TERKINI   Harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter untuk rakyat Malaysia mulai Julai - PM Anwar | Penggunaan MyKad bagi pembelian diesel RM2.10 seliter bagi elak ketirisan - PM Anwar | Dakwaan kebocoran data yang tular di media sosial merujuk insiden lama sebelum 2022, tiada kaitan platform semasa - MKN | 

Niaga Hadapan FBM KLCI Dijangka Diniagakan Dalam Dagangan Kecil Minggu Depan

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam dagangan kecil minggu depan sejajar dengan pasaran tunai pendasar, kata seorang penganalisis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade, Thong Pak Leng, menjangkakan indeks itu bergerak antara paras 1,630-1,650 mata, dan sekiranya melepasi paras 1,650, ia akan menunjukkan aliran menaik yang lebih mampan.

"Prospek jangka panjang kekal positif, disokong oleh keadaan ekonomi yang bertambah baik, pendapatan korporat yang lebih kukuh, dan peningkatan ketara pelaburan langsung asing yang dijangka meningkatkan momentum pasaran," katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir, kontrak bulan semerta Oktober 2024 menambah 6.0 mata kepada 1,638.0, manakala November 2024 meningkat 5.5 mata kepada 1,641.0, Disember 2024 naik 4.5 mata kepada 1,644.0 dan Mac 2025 menokok 5.0 mata kepada 1,632.0.

Jumlah dagangan merosot kepada 32,671 lot daripada 48,310 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 46,608 kontrak daripada 49,905 kontrak.

Bagi asas Jumaat-ke-Jumaat, FBM KLCI naik 3.58 mata kepada 1,633.55 daripada 1,629.97 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA