BERITA TERKINI   Gempa bumi lemah 3.2 magnitud di Segamat pagi ini susulan kejadian gempa di daerah sama 24 Ogos lalu - KP MetMalaysia | Orang ramai tidak perlu bimbang, gempa bumi Segamat berlaku pada magnitud lemah - KP MetMalaysia | Kerajaan Johor pantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama susulan gempa bumi lemah di Segamat - Exco | Malaysia dan Brunei menggalakkan Petronas dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam untuk memajukan projek bersama dan merealisasikan potensi penuhnya dalam jangka masa yang dipersetujui bersama - Kenyataan Bersama | Malaysia dan Brunei akan memanfaatkan sumber bersama dan kelebihan geografi Borneo untuk memperkukuh keterjaminan makanan dan tenaga, membina rantaian bekalan berdaya tahan serta mewujudkan peluang mampan untuk rakyat - Kenyataan Bersama | 

Jualan Asing Ekuiti Malaysia Berkurangan Kepada RM45.7 Juta Minggu Lepas

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Pelabur asing terus menjual ekuiti domestik selama tiga minggu berturut-turut, walaupun pada kadar yang lebih sederhana sebanyak RM45.7 juta, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF).

Dalam laporan aliran dana pada minggu berakhir 11 Oktober, MIDF berkata jualan bersih yang ketara adalah pada Isnin dan Jumaat, dengan aliran keluar, masing-masing sebanyak RM147.9 juta dan RM216.6 juta.

Situasi ini mengimbangi aliran masuk yang dicatatkan dari Selasa hingga Khamis, antara RM44.4 juta dan RM70.2 juta setiap hari.

“Sektor dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah produk dan perkhidmatan pengguna (RM98.0 juta), hartanah (RM31.8 juta) dan perladangan (RM23.7 juta).

“Sebaliknya, sektor dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM184.5 juta), pengangkutan dan logistik (-RM48.0 juta) dan penjagaan kesihatan (-RM44.0 juta),” katanya.

Menurut MIDF, pelabur institusi tempatan menyokong bursa tempatan untuk minggu kelima berturut-turut, dengan belian bersih berjumlah RM93.4 juta.

Peruncit tempatan juga merupakan pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut, dengan jumlah belian sebanyak RM102.5 juta.

Purata jumlah dagangan harian (ADTV) merosot dalam semua kategori pelabur minggu lepas.

Pelabur runcit menyaksikan penurunan sebanyak 0.6 peratus manakala institusi tempatan dan pelabur asing, masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 5.4 peratus dan 6.4 peratus.

Di peringkat serantau, katanya ia merupakan satu lagi minggu untuk pelabur asing menjual ekuiti Asia, dengan aliran masuk bersih berjumlah US$4.43 bilion, angka yang lebih rendah daripada aliran keluar bersih sebanyak US$7.31 bilion dicatatkan pada minggu sebelumnya.

“Taiwan dan Filipina adalah dua negara yang hanya mencatatkan aliran masuk asing bersih ke dalam pasaran ekuiti mereka,” katanya.

-- BERNAMA