BERITA TERKINI   Unit ITMAX System memperoleh Perubahan Kerja (VO) bernilai RM603.5 juta daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru bagi meningkatkan keupayaan bandar pintar generasi baharu | Harga runcit RON95 & RON97 turun 25 sen, diesel Semenanjung turun 75 sen bagi 16-22 April - MOF | Unit Tuju Setia peroleh kontrak kerja-kerja pembinaan daripada Sime Darby Property bernilai RM359.3 juta | 80 warga asing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas pertuduhan terbabit penipuan dalam talian pada 7 April | Lawatan kerja Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah ke premis KL-Kepong Oleomas di Selangor Sabtu ini tinjau proses pengadunan biodiesel - Fahmi Fadzil | 

Bank Rakyat Perlu Teroka Peluang Baharu, Perkukuh Peranan - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) perlu meneroka peluang baharu ke arah mewujudkan model perniagaan yang lebih berdaya saing dan mampan demi manfaat bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam satu hantaran di laman sosial X, beliau berkata Bank Rakyat juga perlu menggalas mandat penubuhannya dengan lebih berani dan berwawasan.

Terdahulu, Anwar hari ini menerima kunjungan hormat Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff bagi meneliti prestasi kewangan 2025 serta hala tuju institusi itu bagi tahun mendatang.

Beliau turut merakamkan penghargaan terhadap prestasi tadbir urus dan kedudukan kewangan Bank Rakyat yang kekal kukuh pada tahun lepas sekali gus mencerminkan disiplin serta komitmen tinggi dalam mengurus amanah.

“Pada masa yang sama, perbincangan turut tertumpu kepada usaha memantapkan sistem perbankan dan kewangan Islam.

“Saya menegaskan bahawa prinsip keadilan, ihsan dan keterangkuman mesti terus menjadi teras dalam memperluas peranan kewangan Islam, selari dengan aspirasi MADANI,” kata beliau.

-- BERNAMA