BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Pelaburan Direalisasi NCER Berjumlah RM48.25 Bilion Bagi Jan-Sept 2024 - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) berjaya mencatatkan pelaburan direalisasi berjumlah RM48.25 bilion bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, peningkatan sebanyak 60 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara tersebut dimaklumkan semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Ke-32 Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) hari ini.

“NCER juga telah menyaksikan sebanyak 10,529 peluang pekerjaan baharu melalui pelaburan direalisasikan ini,” kata Perdana Menteri menerusi catatan di laman X hari ini.

Beliau berkata mesyuarat turut membincangkan inisiatif-inisiatif dalam menyokong ekosistem pelaburan di NCER, selari dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER 2024-2030, antaranya pembangunan pusat inovasi teknologi, hab agro makanan dan peralihan tenaga.

“Perancangan ini penting dalam usaha Kerajaan MADANI memastikan NCER berterusan dapat menarik pelaburan terkait industri strategik yang berimpak dan bernilai tinggi,” kata Anwar. 

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan berkata sejak 2009 hingga September 2024, sebanyak RM248.42 bilion pelaburan berjaya direalisasikan di NCER dengan sektor pembuatan menjadi penyumbang terbesar iaitu RM209 bilion, diikuti pelancongan RM26.13 bilion, logistik RM7.48 bilion, agrikultur dan industri bio RM4.65 bilion serta ekonomi digital RM1.12 bilion.

Menurutnya pelaburan utama yang dimudahcara oleh NCIA adalah daripada syarikat elektronik multinasional seperti Western Digital di Pulau Pinang dan Infineon Technologies serta Ferrotec Manufacturing Malaysia di Taman Teknologi Tinggi Kulim, Kedah. 

“Kejayaan ini dicapai dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, kementerian dan agensi seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan NCIA," katanya dalam kenyataan.

Mohamad Haris berkata, dalam mesyuarat berkenaan, NCIA turut membentangkan empat inisiatif utama yang dijajarkan seiring dengan matlamat Ekonomi MADANI merangkumi NCER Technology Innovation Centre, Hab Agro Makanan NCER, Peralihan Tenaga dan Rantaian Nilai Sumber Nadir Bumi. 

Menurutnya inisiatif-inisiatif ini akan menerapkan strategi kerjasama dengan sektor swasta bagi menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi ke NCER.

“Usaha ini akan memacu ekonomi yang lebih mampan dengan meningkatkan momentum pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi sekali gus merangsang perkembangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

-- BERNAMA