BERITA TERKINI   KDN akan jadi pemudah cara Perhimpunan Antirasuah yang berlangsung esok di Kuala Lumpur - Saifuddin Nasution  | Aplikasi MyBorderPass raih lebih 150,000 pengguna dalam tempoh 21 hari - Saifuddin Nasution | Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan diperkukuh, tiada kompromi - Saifuddin Nasution | Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | 

Malaysia Akan Pelbagaikan Rakan Dagang Untuk Teroka Pasaran Baharu Produk Berkaitan Solar

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Malaysia akan mempelbagaikan rakan dagang untuk meneroka pasaran baharu bagi eksport produk berkaitan solar dalam keadaan ketegangan geopolitik dan perang perdagangan antara China dan Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Malaysia membantah duti import solar yang dikenakan ke atas Malaysia, dan syarikat yang mempunyai sekurang-kurangnya 40 peratus kandungan tempatan perlu dikecualikan daripada tarif.

“Solar sebenarnya harga yang murah, dapat membantu dalam usaha mencapai (pelepasan karbon) sifar bersih dunia.

“Oleh itu, saya harap AS dapat memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk syarikat-syarikat solar yang berpangkalan di Malaysia,” katanya kepada Bernama selepas menyertai dan merasmikan program ‘Fun Run Bernama Radio & MITI’ di Tasik Titiwangsa di sini, pada Khamis.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara dalam blok ekonomi kelima terbesar dunia, menjalinkan hubungan baik dengan semua pihak sama ada dari segi perdagangan, pelaburan dan juga diplomatik.

“Sebagai sebuah negara berteraskan perdagangan, kita mengambil langkah neutral dan tidak berpihak memandangkan kedua-dua kuasa besar (ekonomi) itu (AS dan China) penting dari segi perdagangan dan pelaburan untuk negara ASEAN,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 juga memberikan kelebihan untuk menangani isu itu dengan lebih baik. 

Sebelum ini, AS telah mengenakan tarif sebanyak 9.13 peratus ke atas import sel solar dari Malaysia.

Negara Asia Tenggara seperti Kemboja pula mengenakan tarif sebanyak 8.25 peratus, Thailand (23.06 peratus) dan Vietnam (2.85 peratus). 

-- BERNAMA