BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | 

Kemajuan Pelaksanaan Pelan Hala Tuju AI Negara 2021-2025 Capai 63 Peratus - MOSTI

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Status kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 mencapai pada kadar 63 peratus pada suku ketiga 2024.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata pelan tersebut dikendalikan oleh tadbir urus Jawatankuasa Blockchain dan Kecerdasan Buatan Negara (NBAIC) merangkumi lebih 24 pelan tindakan.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai status kemajuan pelaksanaan Pelan Hala Tuju Kecerdasan Buatan Negara 2021-2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Di bawah pelan itu, kecerdasan buatan (AI) dijangka menghasilkan peningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 30 peratus berdasarkan kepada unjuran awal oleh syarikat perunding pengurusan perniagaan, McKinsey & Co.

"Walaupun begitu, agak sukar untuk menentukan sumbangan dari teknologi AI memandangkan teknologi ini digunakan merentas sektor dan industri," katanya.

Sebagai alternatif, Indeks Kesediaan AI Kerajaan yang dikeluarkan oleh Oxford Insight boleh dijadikan sebagai rujukan untuk melihat sejauh mana kesediaan Kerajaan dalam penggunaan teknologi AI dalam negara.

Menurut Oxford Insight, Malaysia berada di kedudukan ke-23 pada 2023 berbanding tempat ke-29 pada tahun sebelumnya.

"Peningkatan ini kesan daripada inisiatif-inisiatif berkaitan AI yang telah mula dilaksanakan secara berperingkat," katanya.

-- BERNAMA