BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi hari ini dipengaruhi pemulihan harga minyak mentah penanda aras dan kenaikan bursa niaga hadapan getah Shanghai, dalam persekitaran kebimbangan bekalan getah asli yang terhad disebabkan cuaca buruk di negara pengeluar. 

Seorang peniaga berkata kepada Bernama niaga hadapan getah Jepun meningkat bagi sesi kedua berturut-turut pada Jumaat dan dijangka melonjak untuk minggu ini, disokong oleh data ekonomi pengguna utama China yang lebih baik daripada jangkaan dan penyusutan yen.

Selain itu, beliau berkata data ekonomi China dan Amerika Syarikat (AS) yang menggalakkan turut meningkatkan sentimen pasaran.

Menurut Biro Statistik Kebangsaan, pengeluaran perindustrian China pada September meningkat 5.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, meningkat daripada 4.5 peratus pada Ogos.

Sementara itu, dilaporkan bahawa inventori perniagaan AS naik 0.3 peratus pada Ogos manakala jualan runcit meningkat sebanyak 0.4 peratus pada September, menokok daripada kenaikan 0.1 peratus pada Ogos.

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang mengukuh berbanding dolar AS.

Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan bahawa harga Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik 17 sen kepada 872 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 757.5 sekilogram.

Pada 5 petang, SMR 20 berada pada 871 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 757 sen sekilogram.

-- BERNAMA