BERITA TERKINI   PRN Johor: MUDA pertaruh Rashifa Aljunied bagi pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa - Presiden | PRN Johor: PH umum Wong Bor Yang sebagai calon DUN Senai, Mohamad Shafwan Ani calon DUN Bukit Permai - Loke | Pendirian bebas dan berkecuali Malaysia buka ruang untuk kerjasama ekonomi - PM Anwar | Kejayaan Petronas peroleh telaga gas di Turkmenistan bukti keyakinan negara luar terhadap keupayaan Malaysia, syarikat tempatan - PM Anwar | PRN Johor: PH umum Nor Zulaila Abd Ghani sebagai calon kerusi DUN Tiram, Lee Wern Yiing calon DUN Johor Jaya - Loke | 

RM1.3 Bilion Diperuntuk Perkasa Kontraktor G1-G4 - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM1.3 bilion diperuntukkan untuk memperkasa kontraktor G1 hingga G4 khususnya Bumiputera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, ini memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek kecil dan sederhana.

Peruntukan tersebut termasuk pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam, kata Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Belanjawan tersebut bertujuan membugar ekonomi, menjana perubahan dan mensejahterakan rakyat.

Sementara itu, sebanyak RM800 juta pembiayaan di bawah MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) tersedia tahun depan kepada lebih ramai usahawan Bumiputera termasuk untuk menyokong artisan tempatan.

Perdana Menteri berkata, peluncuran Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera adalah dengan tekad membawa pengarahan dan kebijakan baharu.

“Tidak boleh lagi kita terkurung dengan cara lama – mengurus agensi dengan tata kelola rendah, menggunakan agensi bagi memperkaya kerabat sendiri sehingga lupa agenda utama mengangkat darjat dan martabat Bumiputera,” kata beliau.

Beliau berkata pemusatan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Ekuinas di bawah Yayasan Pelaburan Bumiputra adalah untuk menyokong perniagaan Bumiputera di sepanjang kitaran perniagaan mereka.

-- BERNAMA