BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah untuk hari kedua berturut-turut pada Jumaat, sejajar dengan kelemahan di niaga hadapan minyak kacang soya Lembaga Perdagangan Chicago.

 Peniaga minyak sawit David Ng memberitahu Bernama, kejatuhan dalam harga minyak mentah turut menjejaskan sentimen untuk MSM.

“Kami melihat sokongan pada RM4,200 satu tan dan rintangan pada RM4,350 satu tan,” katanya.

Pada penutup hari ini, bulan semerta November 2024 menurun sebanyak RM24 kepada RM4,318 satu tan, Disember 2024 susut RM25 kepada RM4,274 satu tan dan Januari 2025 merosot RM23 kepada RM4,255 satu tan.

Sementara itu, Februari 2025 adalah lebih rendah sebanyak RM20 kepada RM4,223 satu tan, Mac 2025 turun RM18 kepada RM4,189 satu tan dan April 2025 merekodkan kekurangan RM15 kepada RM4,152 satu tan.

Jumlah dagangan berkembang kepada 104,397 lot berbanding 100,646 lot yang disaksikan semalam, manakala kepentingan terbuka menyusut kepada 258,075 kontrak daripada 261,981.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan tidak berubah pada RM4,380 setan.

-- BERNAMA