BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

Belanjawan 2025: Kerajaan Terus Fokus Kepada Golongan Memerlukan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 akan terus memberi fokus kepada golongan yang memerlukan pertolongan meskipun reformasi fiskal sedia masih dikekalkan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selain itu, katanya, fokus kerajaan akan berpaksikan kepada pelaburan dalam negara, usaha menjana ekonomi, memperkukuh tenaga buruh mahir negara dan meningkatkan infrastruktur untuk menyumbang kembali kepada rakyat.

"Kalau kita lihat (dalam Belanjawan 2025), usaha-usaha kerajaan berpaksikan kepada rakyat, seperti meningkatkan (peruntukan) Sumbangan Tunai Rahmah (STR) untuk menangani isu kos sara hidup dan (inisiatif) meningkatkan pendapatan rakyat turut ditekankan.

"Jadi saya rasa Belanjawan 2025 ini merangkumi semua fasa ekonomi dengan lebih baik dan diberi perhatian, malah rakyat turut diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merupakan yang terbesar dalam sejarah dengan peruntukan sebanyak RM421 bilion,  diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Belanjawan itu memberi fokus untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

-- BERNAMA