Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari, Jejaki Pasaran Serantau
KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi ini lebih rendah, seiring dengan penurunan di pasaran serantau berikutan sentimen kekal tidak menentu di sebalik perkembangan semasa di Selat Hormuz.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.35 mata atau 0.79 peratus kepada 1,677.96 daripada 1,691.31 semasa ditutup pada Jumaat.
Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 8.88 mata kepada 1,682.43 dan bergerak antara 1,675.64 dan 1,685.52 semasa sesi dagangan pagi.
Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 751 berbanding 299 manakala 390 kaunter tidak berubah, 1,277 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan sebanyak 1.73 bilion unit bernilai RM1.21 bilion.
Di peringkat serantau, Indeks Straits Times Singapura merosot 0.42 peratus kepada 4,968.45 mata, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 1.18 peratus kepada 25,587.26, Nikkei 225 Jepun berkurangan 1.08 peratus kepada 56,306.73 dan KOSPI Korea Selatan merosot 1.10 peratus kepada 5794.46.
Hong Leong Investment Bank Bhd berkata pasaran tempatan bakal menjadi tidak menentu dan dipacu berita utama dengan risiko ketegangan dijangka memuncak, berkemungkinan akan mencatatkan penurunan berbanding peningkatan minggu lepas susulan kegagalan rundingan damai AS–Iran yang mencetuskan jangkaan bahawa sekatan akan berlaku di Selat Hormuz.
Sehubungan itu, FBM KLCI dijangka kekal tidak menentu, dengan sentimen terikat sepenuhnya kepada perkembangan di Selat Hormuz. Paras sokongan utama dilihat pada paras 1,664-1,673 manakala paras rintangan ditetapkan pada 1,705-1,721, katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 16 sen kepada RM11.00, Public Bank susut lima sen kepada RM4.60, CIMB berkurangan 13 sen kepada RM7.39, IHH Healthcare merosot lapan sen kepada RM8.73, manakala Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.10.
Bagi saham paling aktif, MMAG meningkat setengah sen kepada empat sen, Zetrix AI turun 0.5 sen kepada 75 sen, Bumi Armada menambah 1.5 sen kepada 39.5 sen, bagaimanapun V.S. Industry susut satu sen kepada 18 sen dan Top Glove rendah dua sen kepada 78.5 sen.
Antara saham paling untung, Nestle naik 52 sen kepada RM98.62, Petronas Dagangan menambah 40 sen kepada RM21.20, Hong Leong Industries melonjak 24 sen kepada RM17, PMB Technology menokok 21 sen kepada RM1.78 dan Petronas Chemical meningkat 19 sen kepada RM6.01.
Antara saham paling rugi, Fraser and Neave dan Hong Leong Bank, merosot 42 sen masing-masing kepada RM29.38 dan RM21.66, Dutch Lady Milk dan Sunway Construction berkurangan 20 sen masing-masing kepada RM31.90 dan RM6.65 dan Malayan Cement menguncup 19 sen kepada RM6.57.
Di papan indeks, Indeks FBMT Top 100 rendah 99.81 mata kepada 12,159.85, Indeks FBM Emas susut 100.35 mata kepada 12,312.31, Indeks FBM Mid 70 rendah 154.12 mata kepada 17,166.85, Indeks FBM Emas Shariah merosot 57.79 mata kepada 12,231.54 dan Indeks FBM ACE menyusut 50.31 mata kepada 4,379.67.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 269.43 mata kepada 19,515.23, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.11 mata kepada 186.02, Indeks Tenaga meningkat 11.96 mata kepada 825.21 dan Indeks Perladangan menokok 27.86 mata kepada 8,995.11.
-- BERNAMA