BERITA TERKINI   Kementerian Komunikasi rangka persiapan untuk RMK13, fokus reformasi industri kreatif - Fahmi | KDN akan jadi pemudah cara Perhimpunan Antirasuah yang berlangsung esok di Kuala Lumpur - Saifuddin Nasution  | Aplikasi MyBorderPass raih lebih 150,000 pengguna dalam tempoh 21 hari - Saifuddin Nasution | Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan diperkukuh, tiada kompromi - Saifuddin Nasution | Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | 

Rafizi Akan Tekankan Isu Kritikal Selatan Global Di Sidang Kemuncak BRICS

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Menteri Ekonomi Rafizi Ramli akan menekankan isu-isu kritikal bagi Selatan Global termasuk pembangunan mampan, reformasi sistem tadbir urus global serta situasi geopolitik yang semakin berkembang di Timur Tengah pada 24 Oktober ini di Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus di Kazan, Rusia.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, ia berkata sidang kemuncak bertemakan 'BRICS dan Selatan Global: Bersama-sama Membangun Dunia yang Lebih Baik' ini diadakan susulan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 dan menghimpunkan pemimpin-pemimpin negara serta menteri-menteri daripada sembilan negara anggota BRICS bersama wakil dari 20 negara jemputan bukan BRICS.

“Lawatan kerja ini akan melibatkan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari negara jemputan lain di sela-sela persidangan, selain itu lawatan berkenaan disertai oleh pegawai kanan daripada Kementerian Ekonomi dan Kementerian Luar Negeri yang menunjukkan komitmen teguh Malaysia untuk memupuk kerjasama dan dialog global,” katanya.

Dalam pada itu, Rafizi dalam kenyataan yang sama berkata menerusi penglibatan aktif dalam Sidang Kemuncak BRICS Outreach/BRICS Plus itu, Malaysia mengukuhkan komitmen untuk memperdalam hubungan dengan negara-negara BRICS dan menghadapi landskap ekonomi global yang kompleks dengan penuh ketahanan.

"Lawatan ini juga menyediakan platform strategik bukan sahaja untuk meneroka potensi peranan Malaysia dalam BRICS, tetapi juga untuk memperjuangkan kerjasama ekonomi, memupuk kemakmuran dan menggalakkan pembangunan inklusif bagi Selatan Global," kata Rafizi.

Selatan Global adalah istilah digunakan untuk menggambarkan negara yang kebanyakannya terletak di Afrika, Amerika Latin, Asia dan Oceania.

Negara-negara ini secara umumnya dianggap kurang maju dari segi ekonomi berbanding dengan negara-negara di Utara Global yang merangkumi Eropah, Amerika Utara, dan sebahagian Asia Timur.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 18 Jun lepas mengesahkan bahawa beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun yang pada mulanya terdiri dari Brazil, Rusia, India dan China, dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010. 

Pada Januari lepas, Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) telah diterima sebagai anggota baharu kumpulan BRICS tersebut.

-- BERNAMA