BERITA TERKINI   Kerajaan beri amaran kepada korporat, industri supaya hentikan aktiviti "channel switching" dan beli minyak pada harga pasaran atau berhadapan dengan tindakan - Amir Hamzah | APAD batal Lesen Pengendali syarikat pemandu treler, MFG Barokah Enterprise susulan kemalangan maut di Gemas Baharu, Johor korbankan tiga nyawa | Krisis Tenaga Global: Langkah kekalkan subsidi bersasar diesel pastikan sektor kritikal seperti nelayan, pengangkutan awam terus nikmati diesel pada kadar terkawal - Amir Hamzah | Krisis Tenaga Global: Kerajaan kini tanggung kos subsidi petrol dan diesel sebanyak RM6 bilion berbanding RM700 juta sebelum perang - Amir Hamzah | Krisis tenaga global: Bekalan minyak Malaysia lebih kukuh berbanding negara lain - Amir Hamzah | 

Pembiayaan Kos Rendah Hingga RM5 Bilion Bagi Memacu Pertumbuhan, Transformasi PKS

GEORGE TOWN, 9 April (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) mengumumkan pembiayaan kos rendah sehingga RM5 bilion kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memacu pertumbuhan dan transformasi.

Menterinya Steven Sim Chee Keong berkata pembiayaan itu yang ditawarkan pada kadar serendah tiga hingga lima peratus, adalah untuk memperkasa operasi berteknologi tinggi, ekonomi hijau dan peralihan, automasi serta pendigitalan, selain merangsang sektor pelancongan.

“Dana ini akan disalurkan melalui semua bank berlesen, institusi kewangan yang ditetapkan dan institusi kewangan pembangunan, termasuk Bank Rakyat dan SME Bank di bawah kementerian saya.

“Saya menyeru PKS di Pulau Pinang termasuk jenama warisan untuk memanfaatkan kemudahan ini dan kempen oleh kerajaan bagi memperkasa perniagaan supaya kita bukan sahaja mampu bertahan untuk 50 hingga 100 tahun akan datang, malah boleh menjadi lebih besar, lebih baik dan lebih unggul,” katanya di pelancaran buku “Heritage Brands of Penang” di sini malam ini.

Buku itu dilancarkan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow pada majlis yang turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada lebih 50 jenama yang terkandung di dalamnya, para pembuat dasar, pemimpin institusi dan rakan media.

Sim turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memperkukuh PKS menerusi kempen PowerUp10K, iaitu inisiatif sepanjang tahun yang dirangka bagi memperkasakan PKS merentasi pelbagai peringkat pembangunan.

Di bawah kempen itu, beliau berkata kementeriannya telah menggariskan lima petunjuk prestasi utama (KPI) termasuk penyaluran pembiayaan kos rendah sehingga RM15 bilion, peningkatan ketara daripada RM10 bilion yang diperuntukkan pada tahun lepas.

“Kami menyasarkan untuk membantu 10,000 perniagaan Malaysia di pelbagai peringkat untuk berkembang dan akan memperuntukkan sekurang-kurangnya RM100 juta bagi melatih sehingga 100,000 usahawan menerusi pelbagai program-program pembinaan kapasiti.

“Kami menyasarkan untuk membantu sektor PKS mencapai nilai tambah melebihi RM750 bilion. Sebahagian daripada program ini akan membantu 100 syarikat Malaysia mencapai hasil sebanyak RM100 juta dalam tempoh jangka sederhana,” katanya.

Sim berkata setakat Februari 2026, pembiayaan sebanyak RM2 bilion telah diluluskan di bawah inisiatif PowerUp.

“Heritage Brands of Penang” oleh Institut Pulau Pinang merupakan sebuah penerbitan yang mendokumentasikan perjalanan perniagaan-perniagaan lama yang membentuk landskap komersial dan budaya negeri ini selama lebih lima dekad.

Ditulis oleh Datuk Tony Yeoh, buku ini mengisahkan 59 jenama warisan bersama 21 jenama baru yang sedang meningkat naik, menawarkan pandangan mendalam tentang individu di sebalik perusahaan itu, cabaran yang dihadapi dan nilai-nilai yang telah mengekalkan kelangsungan mereka merentasi generasi.

-- BERNAMA