BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | Belum pernah ada dalam sejarah kerajaan jatuh kerana belanja besar untuk rakyat, sebaliknya disebabkan rasuah - PM Anwar | Pemaju perumahan mampu milik mesti siapkan projek segera, ikut jadual dan mengutamakan mutu - PM Anwar | 

MATRADE Komited Perkukuh Perdagangan Luar Negara Melalui Belanjawan 2025

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terus menjadi agensi galakan eksport negara menerusi Belanjawan 2025 dengan membantu syarikat Malaysia untuk kekal kompetitif di pasaran luar.

Pengerusinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata peruntukan belanjawan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sejajar dengan fungsi teras MATRADE bagi menyokong peranan utama dalam membangun ekonomi negara menerusi eksport.

“Inisiatif Belanjawan 2025 yang diumumkan bukan sahaja berupaya memperkukuh pembangunan kapasiti dan kemampanan syarikat, malah turut menyokong aktiviti galakan eksport yang mampu mendorong potensi eksport yang lebih tinggi.

“MATRADE kekal komited dalam usaha sebagai peneraju pembangunan eksport Malaysia dan melonjakkan ekonomi negara ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Selain itu, agensi itu berkata pihaknya menyambut baik peruntukan RM40 juta yang akan disalurkan melalui geran bayaran balik (Market Development Grant- MDG) bagi membantu pengeksport Malaysia khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk terus terlibat dalam aktiviti promosi eksport sama ada di dalam ataupun di luar negara.

Menurut MATRADE, pemberian geran itu telah dapat membantu syarikat-syarikat Malaysia untuk mengakses pasaran sedia ada dan pasaran baharu dengan lebih mudah terutamanya bagi pasaran Afrika, Amerika Latin dan Timur Tengah.

“PMKS yang mengambil bahagian di dalam pameran perdagangan antarabangsa di luar negara boleh memohon geran sehingga RM25,000 manakala penyertaan di dalam misi promosi perdagangan di mana padanan perniagaan (B2B) diadakan boleh memohon geran sehingga RM10,000.

“Had maksimum untuk tuntutan balik di bawah MDG telah ditingkatkan daripada RM200,000 ke RM300,000 bagi setiap syarikat PKS yang menyertai sebarang program promosi eksport yang dibenarkan di bawah MDG,” katanya.

Sementara itu, MATRADE mengalu-alukan peruntukan dana RM1 bilion yang disediakan melalui Khazanah Nasional untuk syarikat mid-tier melalui kerjasama strategik bagi tujuan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.

Dengan kerjasama ini, agensi boleh menyediakan pembiayaan tambahan, bimbingan perniagaan serta akses kepada pasaran antarabangsa.

Selain itu, bagi meningkatkan daya saing dan keupayaan mengeksport syarikat-syarikat Malaysia, MATRADE akan bekerjasama dengan EXIM Bank bagi memanfaatkan peruntukan RM750 juta yang disediakan di bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport.

Menurutnya, kerjasama itu dijangka dapat melonjak potensi eksport negara dengan syarikat Malaysia dapat menuai manfaat melalui pembangunan kapasiti bagi mewujudkan syarikat yang mampan serta berdaya tahan dan kalis terhadap tantangan masa hadapan.

MATRADE juga mengalu-alukan peruntukan dana RM20 juta yang diperuntukkan untuk pembangunan industri halal bagi meningkatkan kapasiti syarikat-syarikat halal Malaysia dan seterusnya membantu mempercepatkan pencapaian sasaran nilai eksport halal di bawah Pelan HIMP menjelang tahun 2030.

Sektor halal yang memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi negara, dijangka akan mencapai nilai US$5.0 trilion menjelang 2030, dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 3.5 peratus.

 "Selain itu, nilai eksport halal juga disasarkan akan mencatatkan peningkatan bagi mencapai nilai eksport sebanyak RM75.2 bilion pada 2030.

“Cadangan penggabungan beberapa entiti kerajaan termasuk MATRADE dan HDC dilihat sebagai satu usaha kerajaan mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan produktiviti secara bersepadu khususnya dalam usaha memperkukuh industri dan jenama halal negara,” katanya.

-- BERNAMA