Ringgit Terus Catat Kenaikan Berbanding Dolar AS Didorong Sentimen Lebih Baik
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 10 April (Bernama) -- Ringgit terus mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pembukaan dagangan pada Jumaat, disokong oleh permintaan berterusan terhadap mata wang tempatan berikutan sentimen yang lebih baik dalam kalangan peniaga dan pelabur.
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9750/9935 berbanding dolar AS daripada 3.9795/9845 pada Khamis.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot 0.32 peratus kepada 98.819 mata manakala hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) untuk tempoh dua tahun dan 10 tahun, masing-masing berkurangan dua mata asas kepada 3.77 peratus dan 4.28 peratus.
Beliau berkata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) AS bagi suku keempat 2025 menurun kepada 0.5 peratus daripada anggaran konsensus sebanyak 0.7 peratus, berkurangan daripada 4.4 peratus pada suku ketiga 2025.
“Ini menunjukkan ekonomi AS berada pada trajektori lemah dan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) Teras yang menurun kepada tiga peratus pada Februari daripada 3.1 peratus sebelumnya, menunjukkan Rizab Persekutuan mungkin akan menurunkan kadar faedah pada tahun ini.
“Oleh itu, ini boleh memberi impak positif kepada ringgit. Bagaimanapun, sentimen berhati-hati terhadap gencatan senjata akan mengehadkan kadar peningkatan ringgit,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, ringgit dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.4981/5099 daripada 2.5028/5061 pada Khamis, bagaimanapun rendah berbanding euro kepada 4.6468/6684 daripada 4.6457/6515 dan menurun berbanding pound kepada 5.3372/3621 daripada 5.3337/3404.
Mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ringgit menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.1216/1366 daripada 3.1204/1246 semasa ditutup semalam, bagaimanapun meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.3859/4517 daripada 12.3976/4201.
Ringgit berubah sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.65/6.69 daripada 6.66/6.67 manakala hampir mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 232.6/233.7 daripada 232.8/233.2 sebelum ini.
-- BERNAMA