BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | Belum pernah ada dalam sejarah kerajaan jatuh kerana belanja besar untuk rakyat, sebaliknya disebabkan rasuah - PM Anwar | Pemaju perumahan mampu milik mesti siapkan projek segera, ikut jadual dan mengutamakan mutu - PM Anwar | 

Inisiatif Belanjawan 2025 Bantu Tarik Pelaburan Berkualiti, Jadikan Malaysia Destinasi Pilihan -- MIDA

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan 2025 membolehkan Malaysia menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi, inovatif dan mampan yang seterusnya menjadikan negara destinasi pelaburan terpilih di rantau Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata inisiatif tersebut merupakan satu langkah penting untuk merealisasikan matlamat Rangka Kerja Ekonomi MADANI.

Beliau berkata bagi tujuan itu MIDA akan terus memainkan peranannya menyokong iklim pelaburan segar buat para pelabur serta komuniti perniagaan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara. 

"Kami amat teruja dengan rangkaian insentif yang diumumkan dalam belanjawan, yang akan meningkatkan lagi daya saing komuniti perniagaan, menarik pelaburan berkualiti yang disasarkan dan mewujudkan peluang baharu untuk menjana pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, beliau berkata, Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen Malaysia dalam menyokong pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan. 

"Belanjawan ini juga akan memperkasakan komuniti perniagaan, memacu inovasi, meningkatkan nilai ekosistem sektor perkilangan dan perkhidmatan yang dinamik sekali gus menjana manfaat buat rakyat. 

"Melalui inisiatif yang digariskan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan MIDA komited menggandakan usaha dan peranan untuk memperkukuhkan daya saing negara di peringkat serantau dan antarabangsa," katanya.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 yang mengandungi pelbagai langkah sokongan untuk membantu komuniti perniagaan serta inisiatif bagi merangsang ekonomi negara yang kukuh dan mantap. 

Antara yang diumumkan termasuk pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT), Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan dan cadangan mengkaji kebolehlaksanaan Kredit Cukai Pelaburan Strategik.

-- BERNAMA