Larian Amal Bursa Bull Charge Sasar Kumpul RM1 Juta

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Larian amal korporat utama Bursa Malaysia - Bursa Bull Charge (BBC2024) kembali untuk edisi kelapan, menghimpunkan peserta dari sektor korporat dan pasaran modal bagi mengumpul dana kira-kira RM1 juta.

Dana yang dikumpul menerusi BBC2024 yang akan diadakan pada 26 Oktober ini akan diagihkan kepada enam penerima iaitu Aqufish Ltd, Eats Shoots and Roots, Proladang PLT, Silent Teddies Bakery, Treat Every Environment Special (TrEES), dan Zero Waste Malaysia.

“Dana itu akan digunakan untuk menyokong organisasi ini dalam memacu usaha pemuliharaan, memajukan amalan sifar sisa, dan memperkasakan komuniti terpinggir.

“Ini sejajar dengan objektif Bursa Malaysia yang lebih luas untuk memupuk pasaran yang lebih mampan dan berdaya tahan, serta komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya Matlamat 13 - Tindakan Iklim,” kata bursa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak dilancarkan pada 2014, Bursa Bull Charge telah menghimpunkan 12,000 pelari dan mengumpul lebih RM18 juta, yang memberi manfaat kepada lebih 170 badan amal dan organisasi seluruh Malaysia.

Tahun ini, BBC2024 ‘Run the Talk’ diteruskan dengan pengalaman baharu iaitu larian pada waktu malam, dengan pelari dapat menikmati pemandangan ikonik dan kaki langit pusat perniagaan Kuala Lumpur sambil diterangi cahaya bintang dan lampu bandar.

BBC2024 akan menampilkan dua kategori: Dash CEO satu batu (1.6 km) dan Larian Individu 5km, dengan lebih 700 peserta daripada lebih 70 syarikat.

Menerusi acara larian itu, BBC2024 akan mengambil kira pelepasan karbon yang timbul, dengan menjalankan penilaian jejak karbon selepas acara dan mengimbangi karbon yang dipancarkan melalui pembelian kredit karbon yang disahkan berkualiti tinggi, dan menjadikannya sebuah acara neutral karbon.

Larian amal itu disokong oleh antaranya Genting Group; SD Guthrie; Tenaga Nasional Bhd; TRX City Sdn Bhd; YTL Corporation Bhd; dan TA ANN Holdings Bhd. 

-- BERNAMA