BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | 

Syarikat Multinasional Antarabangsa Digalak Bekerjasama Dengan PKS Tempatan

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) — Syarikat multinasional antarabangsa yang melabur di Malaysia digalakkan untuk bekerjasama dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata dasar perolehan negara untuk projek kerajaan memang mengutamakan produk tempatan, tetapi dalam pelaburan antarabangsa, kerajaan tidak meletakkan syarat itu sebagai satu kewajipan. 

“Memang kita menggalakkan (ambil produk tempatan). Walaupun bukan kewajipan, tetapi saya kira minat mereka sekarang ini sudah pasti dari segi ekonomi pun lebih mudah, lebih kompetitif kalau ambil daripada sumber tempatan.

“Sekarang Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memang memainkan peranan untuk pelabur luar digiatkan bersama pemain industri tempatan dalam segala bidang termasuk perkhidmatan.

“Dalam perolehan kerajaan, ia adalah wajib, dalam pelaburan pula kita tidak boleh letakkan syarat itu sebagai kewajipan nanti mereka tidak akan datang melabur di Malaysia jika melihat perkara itu sebagai satu sekatan dan kebebasan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri  Forum Ekonomi Pan Pasifik Malaysia malam ini.

Beliau berkata kerajaan mengadakan libat urus dengan pelabur supaya mereka dapat memahami dan sudah pasti mereka akan mencari rakan kongsi tempatan yang berwibawa.

Dalam ucapan perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat semalam, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng menggesa kerajaan mewajibkan pelabur dan kontraktor asing yang memenangi tender kerajaan serta swasta di Malaysia membeli bekalan atau bahan mentah daripada PKS tempatan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata Indonesia sudah mewajibkan pelabur dan kontraktor asing untuk memperoleh 70 peratus bekalan mereka secara tempatan.

Bagaimanapun, Guan Eng mencadangkan kadar yang lebih rendah iaitu 50 peratus, dengan pengecualian hanya jika barangan tersebut tidak tersedia secara tempatan.

— BERNAMA