BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Ekoran Prestasi Hambar Wall Street

Oleh Karina Imran

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Khamis, dipengaruhi oleh prestasi hambar yang dicatatkan Wall Street, menurut penganalisis.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.24 mata kepada 1,640.29 daripada 1,641.53 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 2.48 mata lebih rendah kepada 1,639.05.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 228 kaunter berbanding 103 kaunter untung, manakala 297 kekal tidak berubah, 1,874 kaunter tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 189.62 juta unit, bernilai RM86.68 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup rendah dengan ketara apabila hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi menjejaskan sentimen pasaran.

Akibatnya, Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) merosot 410 mata, manakala Nasdaq susut 300 mata.

Hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun adalah tinggi apabila mencecah 4.24 peratus.

“Di peringkat tempatan, prestasi FBM KLCI kekal suram, ditutup hampir mendatar dan mengalami penurunan berbanding kenaikan awal berikutan sesi yang tidak memberangsangkan.

“Kami percaya corak dagangan sedemikian akan berterusan tanpa adanya pemangkin," katanya kepada Bernama.

Thong menjangkakan indeks itu cenderung kepada aliran dalam julat 1,635 hingga 1,645 hari ini.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing kekal tidak berubah pada RM10.62 dan RM7.21.

Sementara itu, Public Bank turun dua sen kepada RM4.53, CIMB Group susut satu sen kepada RM8.17, manakala Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.44.

Bagi kaunter aktif, Ingenieur Gudang, Barakah Offshore Petroleum, dan Hubline masing-masing kekal tidak berubah pada 5.5 sen, empat sen, dan 7.5 sen.

Sebaliknya, Capital A susut 1.5 sen kepada 97.5 sen, manakala Dagang NeXchange naik setengah sen kepada 35.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 10.65 mata kepada 12,357.60, Indeks FBM 70 turun 20.17 mata kepada 17,835.50, Indeks FBM ACE kurang 0.92 mata kepada 5,094.46, Indeks FBMT 100 turun 10.43 mata kepada 12,060.77, manakala Indeks FBM Emas Syariah menguncup 6.91 mata kepada 12,280.08.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 9.20 mata kepada 19,507.36, Indeks Tenaga kurang 4.09 mata kepada 857.70, Indeks Perladangan susut 8.17 mata kepada 7,280.00, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.56 mata kepada 176.70.

-- BERNAMA