BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

Untung Bersih Nestle Jatuh 36.1 Peratus Kepada RM85.41 Juta Pada Suku Ketiga

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Nestle (Malaysia) Bhd mencatatkan penyusutan sebanyak 36.1 peratus dalam keuntungan bersihnya kepada RM85.41 juta pada suku ketiga berakhir 30 Sept 2024 (S3 2024) daripada RM133.70 juta pada suku ketiga 2023.

Kejatuhan itu mencerminkan kesan perolehan yang lebih rendah di samping usaha berterusannya untuk meningkatkan kecekapan dalaman dan melaksanakan inisiatif penjimatan kos.

Hasil juga turun 18.4 peratus kepada RM1.44 bilion daripada RM1.77 bilion sebelumnya.

“Penurunan itu juga disebabkan oleh pengurangan dalam jualan domestik, dipengaruhi oleh keraguan pengguna di sebalik perbelanjaan berhati-hati dan kebimbangan tentang kemampuan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.

Kumpulan itu turut mengulangi hala tuju sebelumnya untuk kembali kepada pertumbuhan yang sihat menjelang penghujung separuh pertama 2025 berdasarkan asas-asas kukuhnya.

Sementara itu, bagi sembilan bulan berakhir 30 Sept 2024, Nestle mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sebanyak 26.8 peratus kepada RM374.52 juta daripada RM511.76 juta, manakala hasil susut 11.4 peratus kepada RM4.75 bilion daripada RM5.36 bilion sebelum ini.

Selaras dengan komitmen kumpulan untuk memberikan nilai kepada para pemegang saham, lembaga pengarah mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua yang dikecualikan cukai sebanyak 35 sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024.

Mengenai prospek, kumpulan itu berkata walaupun keadaan pasaran dijangka kekal mencabar tetapi bertambah baik secara progresif dalam tempoh terdekat dan kumpulan berkenaan menjangkakan kembali kepada pertumbuhan sihat menjelang separuh pertama 2025.

“Kami kekal yakin dengan kekuatan asas kami sebagai peneraju barangan pengguna yang bergerak pantas merentasi pelbagai kategori di tempat kami bersaing.

"Kami akan terus membina kepercayaan dalam jenama kami melalui tindakan korporat kami yang bertanggungjawab dan menawarkan rakyat Malaysia rangkaian produk halal terbaik yang memenuhi keperluan kesihatan, pemakanan dan gaya hidup mereka di bawah jenama yang percayai," tambahnya.

-- BERNAMA