BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Kerajaan Garis 11 Sektor Berpotensi, Termasuk HGHV Untuk Bumiputera

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan telah menggariskan 11 sektor berpotensi untuk dimanfaatkan oleh golongan bumiputera, termasuk industri pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV), kata Kementerian Ekonomi.

Sektor dan industri yang dikenal pasti itu berdasarkan potensi bumiputera dalam menjana aktiviti bernilai ditambah tinggi seperti penggunaan teknologi termaju serta penyelidikan dan pembangunan inovasi.

“Ini termasuk industri HGHV yang berasaskan peralihan tenaga, industri teknologi dan digital, pertanian dan industri asas tani, industri khidmat jagaan, industri modal teroka dan ekuiti persendirian,” kata kementerian dalam jawapan bertulis dipaparkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) mengenai impak Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) terhadap pemartabatan kedudukan sosioekonomi bumiputera, terutama di pinggir bandar, luar bandar dan pedalaman dalam sektor serta industri baharu dengan nilai ditambah tinggi, termasuk industri HGHV.

Menjelaskan selanjutnya, Kementerian Ekonomi berkata PuTERA35 menekankan tiga teras utama iaitu Memperkukuh Pasak Ekonomi Negara; Memperteguh Kerukunan Tatakelola dan Institusi serta Menegakkan Keadilan Sosial yang disokong oleh 12 pemacu dan 132 ikhtiar dalam menangani isu dan cabaran bumiputera.

Kerajaan turut merangka beberapa ikhtiar di bawah PuTERA35 untuk memperkasa bumiputera luar bandar dalam sektor dan industri baharu dengan nilai ditambah tinggi.

Usaha itu seperti merekayasa ekonomi luar bandar melalui perluasan akses kepada pembiayaan alternatif dan penglibatan dalam Industri HGHV, terutama peralihan tenaga dan pertanian pintar serta penanaman herba bernilai tinggi.

Penekanan lain adalah memperkasa hab logistik untuk meningkatkan infrastruktur dan agensi pemasaran/pengedaran sedia ada di luar bandar selain merangka pelan pembangunan luar bandar lebih komprehensif.

Inisiatif Malaysia Digital pula diperluas ke luar bandar dan negeri kurang membangun bagi membolehkan bumiputera mendapat manfaat daripada pelaburan baharu berkaitan teknologi dan pendigitalan.

Aspek lain adalah mengkaji penetapan syarat kepada syarikat swasta supaya menyumbang dan memajukan komuniti bumiputera dan kawasan luar bandar, termasuk Orang Asli dan kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak, kata kementerian itu.

-- BERNAMA