BERITA TERKINI   Pakistan gesa Amerika Syarikat dan Iran terus mematuhi gencatan senjata sementara selepas rundingan damai pada Sabtu berakhir tanpa sebarang persetujuan | 

Perpaduan Teras Daya Tahan Harungi Krisis Bahan Api

Oleh M. Saraswathi

KUALA LUMPUR, 12 April (Bernama) -- Sejauh mana impak sesuatu krisis itu mungkin sukar difahami sehinggalah asakannya mengundang kesan mendalam sehingga menjejaskan kehidupan seharian.

Justeru, agak mengejutkan apabila sebuah syarikat pengedar bahan api utama di Malaysia pada Khamis lepas bertindak mengumumkan beberapa stesen minyak kendaliannya mungkin mengalami kekurangan bekalan sementara.

Ditambah pula dengan kenaikan harga barangan, terutama makanan akibat peningkatan harga bahan api diesel, keadaan itu hanya mencetuskan kebimbangan mengenai kuasa beli yang ada jika situasi terus buruk.

Apa yang pasti, kesan daripada konflik Asia Barat bukan lagi satu fenomena yang hanya berlaku di satu sudut dunia dengan kesannya hanya dirasai segelintir.

Sedaya mana cuba menafikannya, kesan daripada konflik itu sudah menular pantas dengan implikasinya bukan setakat di depan mata, malah melanda ke saku.

Namun, sesukar mana ditelan, inilah realiti.

Belum sempat diteliti, pihak Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada hari sama mengumumkan ekonomi global sedang diasak tekanan baharu susulan perang membabitkan Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Lebih buruk lagi, institusi kewangan berpangkalan di Washington itu mengunjurkan bantuan kewangan sehingga US$50 bilion (US$1 = RM3.98) diperlukan bagi membantu negara-negara rentan menangani kejutannya.

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva turut berkongsi sisi suram apabila mengakui perang itu telah mencetuskan kejutan bekalan yang ketara, bersifat global serta tidak sekata, sekali gus menjejaskan aliran tenaga, lonjakan harga selain tekanan ke atas rantaian bekalan di seluruh dunia.

IMF juga memaklumkan unjuran menyemak turun pertumbuhan global dalam tinjauannya yang akan datang -- khabar kurang menarik untuk ekonomi atau negara berorientasikan eksport seperti Malaysia.

Pada Januari, IMF telah mengunjurkan ekonomi global tumbuh sebanyak 3.3 peratus bagi 2026 dengan zon euro dijangka meningkat sebanyak 1.3 peratus manakala AS diunjur mencatat pertumbuhan 2.4 peratus.

Di Malaysia, harga minyak di pam yang terus disubsidi untuk pengguna telah melonjak ketara yang hanya membebankan lagi kewangan kerajaan.

Dalam pengumuman terkini, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan harga bahan api RON95 bersubsidi di bawah program Budi MADANI RON95 (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter bagi tempoh 9-15 April manakala harga runcit tanpa subsidi naik sebanyak 40 sen kepada RM4.27 seliter.

Angka itu menunjukkan subsidi juga telah melebihi 50 peratus.

Ringkasnya sebagai contoh, 30 liter RON95 tanpa subsidi akan menelan kos sebanyak RM128.10, namun rakyat Malaysia hanya perlu membayar RM59.70 dengan baki RM68.40 ditanggung oleh kerajaan.

Bagi diesel, harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal pada RM2.15 seliter manakala harga tanpa subsidi di Semenanjung Malaysia meningkat sebanyak 70 sen kepada RM6.72 seliter.

Peningkatan angka-angka ini adalah di luar jangkaan kebanyakan rakyat Malaysia yang telah menikmati harga bahan api yang secara relatifnya rendah hampir sepanjang hidup mereka.

Penulis adalah salah seorang daripadanya dan secara peribadi tidak pernah menyangka harga minyak di pam akan melonjak ke paras tinggi dalam tempoh singkat.

Di sebalik kejutan itu, masih ada berita baik dari segi bank-bank yang masih mempunyai permodalan baik manakala ekonomi setakat ini berdaya tahan.

Namun, perang yang berlanjutan pasti menuntut kerajaan untuk menilai semula belanjawan, terutama berkaitan perbelanjaan subsidi yang mencecah sehingga RM6 bilion sebulan daripada RM700 juta sejak perang itu bermula enam minggu lepas.

Dasar yang kukuh sekali pun, boleh terjejas akibat kejutan luaran.

Dalam senario sedemikian, kalangan pengguna rutin jalan raya perlu berfikir semula dan merancang perjalanan dan begitu juga bagi sebahagian besar daripada kita yang tiada pilihan untuk meneliti semula perbelanjaan isi rumah.

Sebagaimana negara-negara lain di rantau ini, gesaan kerajaan untuk mengamalkan langkah berjimat cermat dan pendekatan berhemat mungkin dianggap sebagai “klise” iaitu ungkapan kerap didengar.

Ketika gesaan itu mungkin dianggap tidak senada dengan persepsi awam dan lebih buruk lagi apabila pihak berkuasa menjadi sasaran mudah untuk dikecam.

Hakikatnya, fakta yang terbentang jelas tidak boleh menidakkan realiti yang melanda setiap ekonomi dengan impak susulan.

Keadaan ini lebih lagi dari segi kerumitan yang menjadi asas krisis bahan api global dan melangkaui kemampuan mana-mana kerajaan sekali pun.

Ketegangan geopolitik, rantaian bekalan goyah serta konflik yang berlarutan hanya menjadi penyumbang kepada ketidaktentuan landskap tenaga.

Pada masa sama, ini berlaku ketika rantaian bekalan ekonomi masih belum kebah daripada impak buruk pandemik kesihatan COVID-19 pada 2020.

Keadaan menjadi lebih buruk susulan tindak tanduk Presiden AS Donald Trump mengenakan tarif timbal balas yang mengejutkan ke atas rakan dagang, termasuk Malaysia.

Kini, rentetan perang AS dengan Iran, gesaan langkah gencatan senjata yang jelas serta kestabilan terus kedengaran di pelbagai platform antarabangsa serta dalam kalangan pemimpin dunia.

Namun, berlatar belakang situasi diplomasi yang sarat dengan percaturan dan kepentingan diri sebagai asas, penyelesaian sedemikian seringkali dilihat sebagai sukar dicapai.

Tidak hairanlah, kekecohan yang menyelubungi rundingan global akan terus menjadi tajuk utama.

Bagaimanapun di satu sudut dunia di Malaysia, apa yang lebih utama bagi rakyat biasa adalah sejauh mana ringgit itu dapat dimanfaatkan semaksimum mungkin.

Justeru, sekarang bukanlah masa untuk saling menuding ketika krisis yang diketahui cirinya adalah untuk menjadi ujian kepada kerajaan mahu pun rakyat.

Wajar diimbau kembali bagaimana kita bersatu ketika COVID-19 melanda, saling membantu dan melakukan apa yang perlu seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak fizikal ketika kerajaan menangani cabaran sukar mengekalkan ekonomi dan mendapat jaminan vaksin.

Oleh itu, “modus operandi” atau pendekatan sama masih boleh dipraktikkan. Senario berbeza? Ya, tetapi penawarnya tetap serupa berikutan penyelesaian ini pasti memakan masa.

Daripada membazir tenaga dengan menuding jari, adalah wajar ruang yang ada dimanfaatkan untuk memupuk sedikit rasa tanggungjawab bersama.

Bagi kerajaan, perlu terus berkomunikasi secara telus dan tindakan tegas mengikut kemampuan ketika rakyat sebagai pengguna akhir, boleh menyumbang menerusi tindak tanduk perbelanjaan secara berhemah.

Sejarah telah membuktikan konflik yang sebegitu sukar pun ada penyelesaiannya yang mungkin secara perlahan, tetapi selesai.

Sementara menunggu harapan menjadi kenyataan, krisis bahan api ini turut menjadi cabaran serta peringatan bahawa dalam dunia globalisasi, krisis seperti ini bukanlah sesuatu yang asing.

Tempias itu sudah menjejaskan sebahagian besar negara-negara dan Malaysia juga tidak terkecuali.

Langkah menanganinya adalah menerusi satu platform sama yang menjadi ubat penawar penting dalam memacu daya tahan negara yang bermula dengan rakyat dan isi rumah.

-- BERNAMA