BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Ringgit terus mencatat momentum positif untuk diniagakan tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini, disokong oleh permintaan belian yang berterusan berikutan lebih ramai pelabur beralih kepada mata wang dari negara-negara pesat membangun, termasuk ringgit, kata penganalisis.

Pada 8.17 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.3405/3515 berbanding dolar AS daripada 4.3455/3510 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenaikan Indeks Dolar AS (DXY) dilihat terjejas berikutan data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif.

“DXY merosot 0.36 peratus kepada 104.058 mata berikutan peniaga dijangka menyimpan keuntungan disebabkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS yang berkurangan.

“Hasil Perbendaharaan AS juga rendah apabila hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun turun 3.0 mata asas kepada 4.21 peratus berikutan paras semasa menjadi semakin menarik dengan Fed AS dijangka melonggarkan dasar monetarinya walaupun secara berperingkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam pada itu, katanya peniaga dan pelabur akan sibuk dengan pilihan raya presiden AS berdasarkan persaingan antara kedua-dua calon amat sengit.

Dalam dagangan awal, ringgit kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia naik berbanding pound kepada 5.6279/6422 daripada 5.6331/6402 semalam, meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.8582/8657 daripada 2.8589/8627 pada Khamis, bagaimanapun merosot berbanding euro kepada 4.6969/7088 daripada 4.6918/6978 sebelum ini.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.51 daripada 7.49/7.51 pada Khamis dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2903/2988 daripada 3.2928/2972 semalam.

Mata wang tempatan turut mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 278.4/279.3 daripada 278.8/279.3 semalam dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8779/12.9174 daripada 12.9031/9259 sebelum ini.

-- BERNAMA