Khazanah Lancar Jelawang Capital, Pacu Ekosistem Modal Teroka Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd pada Isnin melancarkan Jelawang Capital Sdn Bhd (Jelawang Capital) iaitu ‘national fund-of-funds’ (NFOF) bagi memacu pertumbuhan ekosistem modal teroka negara ini.

Langkah itu berikutan penggabungan Malaysia Venture Capital Management dan Penjana Kapital pada Julai lepas dan sepertimana diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2025 ketiga oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Urusan Khazanah, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir berkata Jelawang Capital melambangkan usaha Khazanah dalam membangunkan ekosistem modal teroka.

“Menerusi inisiatif pemangkin itu, Jelawang Capital akan meneruskan usaha membangunkan pengurus-pengurus dana Malaysia di samping menarik penglibatan pengurus dana serantau yang mempunyai kepakaran dan modal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirul Feisal berkata Jelawang Capital diterajui oleh Bryan Lim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang juga merupakan Ketua Dana Impak Khazanah.

Sejajar usaha memacu perkembangan ekosistem modal teroka Malaysia, Jelawang Capital akan menerajui dua inisiatif - Emerging Fund Managers’ Programme (EMP) dan Regional Managers' Initiative (RMI).

Menurut kenyataan itu, EMP bermatlamat untuk memupuk pengurus-pengurus dana Malaysia yang berpotensi dari segi mengumpul dana pertama, kedua atau ketiga

"EMP yang terbuka kepada pengurus-pengurus dana berpusat di Malaysia atau luar negara, akan menyokong pengurus dana Malaysia untuk membina rekod prestasi dan meningkatkan daya saing mereka di dalam ekosistem modal teroka.

“Jelawang Capital akan menjadi penaung untuk pengurus dana Malaysia dalam menarik minat dan pelaburan lain dari pelabur-pelabur Malaysia dan antarabangsa. Selain sokongan modal, EMP mempunyai aspirasi untuk menyokong pengurus-pengurus dana dalam bidang penting seperti pengurusan dana, operasi pelaburan dan pengurusan bakat,” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan memuat turun borang permohonan di www.jelawangcapital.com.

Selain itu, Khazanah berkata RMI pula bertujuan mengukuhkan ekosistem permulaan Malaysia melalui kerjasama strategik dengan firma modal teroka serantau serta turut mewakili usaha Jelawang Capital bagi menarik pengurus dana antarabangsa yang mempunyai komitmen memperkaya ekosistem berkenaan.

“Ini termasuk menyokong pertumbuhan syarikat permulaan Malaysia menjadi pemain serantau dan global serta memudahkan perpindahan syarikat global ke Malaysia bagi memperluas kemampuan pekerjaan tempatan, menarik bakat dan mendalami inovasi,” katanya.

Jelawang Capital turut mengalu-alukan penglibatan penjana teroka yang berwibawa untuk melahirkan usahawan baru dan menyokong pertumbuhan usahawan sedia ada di Malaysia.

Pengurus serantau yang selaras dengan objektif strategik ini dipelawa mengemukakan cadangan mereka ke rmi@jelawangcapital.com, kata Khazanah.

-- BERNAMA