Hasrat Malaysia Sertai BRICS Suntik Prospek Cerah Bagi Industri Jualan Langsung
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) – Industri jualan langsung Malaysia berpotensi menjadi penerima manfaat besar susulan hasrat negara ini menyertai BRICS, kata Persatuan Edaran Terus Malaysia (MDDA).
Presidennya Datuk Dr Barani Karunakaran berkata ini turut memberi peluang kepada kalangan peniaga jualan langsung tempatan dengan akses pasaran lebih besar, sokongan kerajaan yang kukuh serta potensi kerjasama dengan negara-negara terbabit.
“Negara-negara BRICS menawarkan peluang pertumbuhan pasaran serta pengembangan untuk jualan langsung. Menerusi pasaran besar yang pelbagai serta kemunculan kelas pertengahan, negara-negara ini juga seiringan dengan matlamat industri kami untuk memperkasa usahawan tempatan selain meningkatkan sara diri," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.
Mengulas selanjutnya, Karunakaran berkata model jualan langsung dengan halangan rendah namun peluang tinggi, juga sejajar dengan penekanan BRICS dalam menyokong pembangunan perniagaan tempatan.
Selain itu, penyertaan dalam BRICS juga akan membantu Malaysia dari segi mengurangkan kebergantungan terhadap pasaran Barat dan membolehkan industri beralih ke arah pasaran yang lebih menyokong pendekatan tempatan.
"Anjakan ini dapat menjurus kepada inovasi yang disesuaikan dengan budaya tempatan dan pilihan pengguna serta menjadi teras bagi pertumbuhan mampan. Pakatan BRICS juga dapat menggalakkan rangka kerja kawal selia serta perlindungan pengguna yang mampu melonjakkan kredibiliti dan kepercayaan pengguna rentas negara anggota," katanya.
Industri jualan langsung di Malaysia telah menunjukkan pertumbuhan konsisten, termasuk mencatat perolehan sebanyak RM29 bilion pada 2023 yang terus meningkat kepada RM29 bilion menjelang akhir September 2024.
Walaupun jualan langsung berdepan persepsi negatif di peringkat global akibat salah faham membabitkan skim jualan langsung pelbagai peringkat (MLM), Karunakaran berkata jualaan langsung di Malaysia adalah sah dan dikawal selia oleh kerajaan.
“Industri jualan langsung di sini mengetengahkan peluang perniagaan yang tulen. Kami menawarkan laluan bagi mendapat kebebasan kewangan dan meningkatkan gaya hidup dengan akses pelbagai peringkat kepada mereka daripada pelbagai latar belakang berbeza,” katanya.
Bersandarkan kewujudan hampir 115 syarikat di bawah MDDA, industri ini terus berkembang di sebalik cabaran yang ada walaupun ketika pasaran jualan langsung di Asia mengalami kemerosotan.
“Daya tahan ini antaranya disebabkan oleh sokongan mantap kerajaan Malaysia, termasuk badan-badan kawal selia seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Sokongan kukuh kerajaan menjadikan pasaran jualan langsung kekal stabil berbanding keadaan sebaliknya di negara-negara jiran,” katanya.
Bagi kemajuan masa depan, MDDA menyasarkan untuk meraih perolehan sebanyak RM30-RM40 bilion yang mencerminkan keyakinan pertumbuhan yang berterusan, terutama jika kerjasama BRICS membuka peluang baharu untuk syarikat jualan langsung Malaysia di pasaran belum diterokai.
Karunakaran juga berharap dapat melihat negara-negara BRICS bekerjasama dalam merangka garis panduan piawaian serta amalan terbaik untuk jualan langsung, menaikkan lagi reputasi serta kemampanan industri merentas ekonomi baharu muncul berkenaan.
“Menerusi model perniagaan yang unik, keperluan modal yang rendah dan potensi sokongan BRICS, industri jualan langsung Malaysia mampu mencapai pertumbuhan serta jangkauan global yang belum pernah dilihat sebelum ini.
“Jualan langsung di Malaysia mampu mengubah kehidupan, mewujudkan kelompok usahawan dan menyokong pertumbuhan ekonomi. BRICS dapat menjadi pemangkin yang diperlukan bagi melonjakkan usaha ini," katanya.
BRICS, yang pada asalnya merangkumi Brazil, Rusia, India, dan China, ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi yang sedang membangun dengan penyertaan Afrika Selatan pada 2010.
Blok itu kemudiannya berkembang dengan turut disertai oleh Iran, Mesir, Ethiopia dan Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA