BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Anwar Rasmi Pavilion Malaysia Di CIIE Ke-7 Di Shanghai

SHANGHAI, 5 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Pavilion Malaysia di Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE)  ketujuh yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai, China.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kini sedang dalam rangka lawatan kerja ke China mulai semalam hingga 7 Nov atas jemputan rakan sejawatannya dari China Li Qiang untuk menghadiri persidangan itu.

Menerusi hantaran di laman X, Anwar berkata Pavilion Malaysia yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menampilkan 16 pempamer dan 17 reruai yang mengetengahkan pelbagai produk dan perkhidmatan serta teknologi inovasi daripada syarikat Malaysia.

Antara sektor utama yang menyertai Pavilion Malaysia termasuk elektrik dan elektronik (E&E), pertanian, penjagaan kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kandungan kreatif, perkhidmatan perniagaan dan logistik.

“Saya turut berkesempatan merasmikan Pavilion Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia  (ACCCIM) yang disertai 18 syarikat tempatan dan 31 reruai daripada industri makanan dan minuman serta perkhidmatan, sekali gus memperluas kehadiran Malaysia dan peluang kerjasama dengan syarikat negara lain,” kata Perdana Menteri. 

Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Terdahulu, Perdana Menteri China Li Qiang mengetuai delegasi para pemimpin utama negara mengunjungi beberapa pavilion negara di ekspo tersebut, termasuk Pavilion Malaysia selepas majlis pembukaan rasmi CIIE.

China menjadi rakan dagangan terbesar Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009.

-- BERNAMA