BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turun 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini ketika pilihan raya Amerika Syarikat (AS) semakin menghampiri.

Rakan pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata beliau menjangkakan emas akan mencatatkan prestasi baik tanpa mengira apa juga keputusan pilihan raya AS berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Semasa tempoh pentadbiran Donald Trump sebelum ini emas mencatatkan lonjakan harga sebanyak 55 peratus didorong oleh perang perdagangan, dan komoditi itu meningkat sebanyak 45 peratus lagi di bawah pentadbiran Joe Biden, disebabkan oleh peningkatan defisit belanjawan. 

"Coraknya jelas: dasar pengembangan AS memberi manfaat kepada emas, tanpa mengira siapa yang menjadi presiden," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sekiranya Kamala Harris menang, dolar boleh menjadi lemah dan hasil bon mungkin merosot -- kedua-duanya akan memberi isyarat positif bagi emas dan jika Trump menang, ia bermakna tarif yang lebih tinggi ke atas China dan mungkin terhadap rakan dagangan lain, yang juga boleh menjadikan emas lebih menarik sebagai aset selamat.

“Bagaimanapun, pelabur mengambil pendekatan berhati-hati, bimbang kemenangan Trump mungkin mendorong dolar AS dan hasil bon lebih tinggi, yang boleh membebankan emas.

“Sehingga keputusan pilihan raya diperoleh, elakkan mengambil sebarang langkah berani dalam pasaran emas,” katanya. 

Kontrak bulan semerta 2024 meningkat kepada US$2,753.50 setiap auns troy daripada US$2,752.40 setiap auns troy dan Disember 2024 naik kepada US$2,766.40 setiap auns troy daripada US$2,764.20 setiap auns troy sebelumnya. 

Sementara itu, kontrak Januari 2025, Februari 2025 dan April 2025 semuanya ditutup lebih tinggi kepada US$2,766.40 setiap auns troy berbanding US$2,764.20 setiap auns troy pada Isnin.

Jumlah dagangan meningkat kepada sembilan lot daripada enam lot manakala kepentingan terbuka naik kepada 17 kontrak daripada 13 kontrak sebelum ini.

Menurut penetapan London Bullion Market Association pada 4 November, harga emas fizikal berada pada US$2,742.60 setiap auns troy. 

-- BERNAMA